Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesawat Ethiopian Airlines terhempas, 157 terkorban
Diterbitkan:  Mar 10, 2019 6:49 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Pesawat Boeing 737 Ethiopian Airlines dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi terhempas hari ini dan kesemua 149 penumpang dan lapan kru disahkan terkorban.

"Tiada yang menaiki pesawat terselamat. Pesawat membawa penumpang daripada 33 negara," kata Ethiopian Broadcasting Corporation (EBC) seperti dipetik Reuters.

Ethiopian Airlines dalam kenyataan berkata pesawat ET 302 dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi terhempas dekat Bishoftu, kira-kira 62km daripada Addis Ababa.

"Operasi mencari dan menyelamat sedang diadakan dan kami tiada maklumat sah berhubung keadaan penumpang," katanya dalam kenyataan, seperti dipetik.

Menurut laporan itu, pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Bole pada pukul 8.38 pagi waktu tempatan dan terputus hubungan dengan menara kawalan hanya enam minit kemudian, iaitu 8.44 pagi.

Menurut laman penjejakan penerbangan flightradar24, pesawat itu berdepan masalah kelajuan vertikal tidak stabil setelah berlepas.

Nahas terakhir syarikat penerbangan milik kerajaan Ethiopia itu pada Januari 2010, apabila sebuah pesawatnya terhempas sebaik berlepas di Beirut, Lubnan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS