Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Belia Johor gesa NGO alam sekitar tumpu isu lain
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 8:00 AM
Dikemaskini: 12:05 AM

Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menyatakan rasa terkilan terhadap sekumpulan NGO yang mendakwa komitmen kerajaan Johor masih rendah dalam menangani isu tanah dan alam sekitar.

Sebaliknya MBNJ yang mewakili 22 badan gabungan seluruh negeri Johor mengajak NGO berkenaan memberi perhatian terhadap isu alam sekitar seperti pembersihan sungai dan lain-lain aktiviti yang 'benar-benar menunjukkan cinta alam sekitar'.

"Keperihatinan ini amat wajar bagi semua masyarakat tetapi mengapa mesti tertumpu kepada suatu tempat pembangunan negeri Johor sendiri".

"Sewajarnya mereka harus peka pada penglihatan depan mata seperti sampah sarap yang makin berleluasa, tiada kesedaran sivik sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab, penghasilan sisa kimia dari industri yang mencemari sungai serta alam sekitar," katanya dalam kenyataan.

Semalam sekumpulan NGO mewakili 42 organisasi menggesa kerajaan Johor lebih tegas menangani isu resort golf yang dibina di sebuah hutan bakau.

Isu itu menurut mereka timbul dua bulan setelah media melaporkan pembatalan warta status Pulau Kukup sebagai Taman Negara.

“Jelas kerajaan negeri tidak bertindak positif terhadap kedua-dua isu ini dan ia juga menunjukkan tiada usaha dari mereka untuk memperbetulkan keadaan.

“Pada pendapat kami, kerajaan baru perlu menunjukkan ketegasan kepada orang awam dan memperbetulkan sebarang salah laku rejim lama,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, laporan khas Malaysiakini mendedahkan pembinaan resort golf dan pembangunan hotel di Sungai Pulai, paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia.

Pada Disember tahun lepas, Pulau Kukup didapati tidak lagi diwartakan sebagai taman negara dan akan dijadikan sebagai taman kesultanan bawah pemilikan Sultan Johor.

Namun kerajaan pusat tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana ia akan menyebabkan pulau itu kehilangan pengiktirafan yang sah sebagai taman negara. 

Bagaimanapun Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata fungsi Pulau Kukup akan dikekalkan sebagai taman negara.

Mengenai isu pembangunan resort golf di Sungai Pulai, MBNJ berkata ia bukanlah isu yang menarik membabitkan "kebinasaan alam sekitar".

"Setiap pembangunan ada perancangan yang teliti dan berpandangan jauh selain menarik pelabur asing serta pelancong datang ke negeri Johor.

"Kenapa harus membahaskan lagi perkara yang telah diputuskan terutama isu Pulau Kukup yang kita tahu DYMM Sultan Johor sendiri telah bertitah bahawa ia kekal sebagai Taman Negara.

"Adakah mungkin dakwaan NGO tersebut adalah suara dari pihak yang tidak senang dengan kemajuan negeri Johor. Atau atas arahan sesiapa?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS