Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bertekad akan membentangkan kertas kajian menyeluruh tentang pilihan raya kerajaan tempatan kepada parlimen dalam tiga tahun lagi, sebelum penggal ini berakhir.
Katanya, langkah itu adalah bagi merealisasikan pilihan raya itu yang menurutnya amat penting bagi melambangkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik yang sedang menuju ke arah negara maju.
"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada tiga tahun untuk laksanakan kajian, dan libat urus di kalangan komuniti serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ini agar kita dapat membentangkan satu kertas (kajian) yang cantik, yang walaupun pahit, dapat diterima dengan senyuman oleh kabinet pada tiga tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen Pemerkasaan PBT yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Laksana ikut acuan Malaysia
Jawapannya itu adalah bagi menjawab kegusaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa pilihan raya PBT boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.
Memahami kegusaran yang disuarakan perdana menteri, Zuraida menjelaskan, model pelaksanaan pilihan raya tersebut nanti boleh dirangka mengikut acuan di Malaysia agar tidak menimbulkan ketidakseimbangan.

“Dia ada banyak aspek, tetapi kita boleh dengar semua model dan kita juga boleh rangka acuan kita sendiri untuk menepati cita rasa di Malaysia.
“Kita ada tempoh tiga tahun untuk kajian ini, selepas itu kita akan bentangkan kepada kabinet dan lihat reaksi pada ketika itu nanti. Masa masih panjang,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri KPKT, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Noor-Ihsan Haji Che Mat.
Kali terakhir pilihan raya kerajaan tempatan diadakan adalah pada tahun 1963.
Biarpun pilihan raya PBT tidak dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), terdapat pemimpin-pemimpin yang berusaha untuk mengembalikan pelaksanannya, termasuk gesaan daripada kumpulan masyarakat sivil dan NGO.
Peruntukan lawatan ke luar negara
Dalam perkembangan lain, Zuraida turut mengumumkan satu garis panduan sedang dirangka bagi memastikan peruntukan oleh KPKT terhadap PBT dimanfaatakan sepenuhnya, terutamanya program yang melibatkan lawatan ke luar negara.
“PBT perlu hantar permohonan ke luar negara, dan kita akan lihat sama ada adakah itu destinasi terbaik untuk dikunjungi.
“Sebelum ini mereka beri permohonan, dan kita nilai berdasarkan peruntukan. Tetapi nanti, bukan sahaja bergantung kepada peruntukan, tetapi juga pada jenis program dan projek yang hendak dilaksanakan," katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan penutup, Zuraida menasihatkan PBT yang melakukan lawatan ke luar negara agar memilih destinasi yang mampu membantu meluaskan fik
“Janganlah ada jemputan saja, kita pergi. Tak ada kena mengena dengan negeri kita pun kita pergi. Jangalah. Kita tengok kesesuaian tempat itu, pembangunan di situ, (adakah) bertepatan dengan kedudukan semasa kita.
“Barulah dapat bercambah cadangan dan fikiran, dan boleh digunakan apa yang telah kita lihat (dalam meningkatkan khidmat),” jelasnya dalam ucapan itu.