ADS
mk-logo
Berita
AMANAH kecam hukuman mati pemimpin Ikhwan Mesir
Diterbitkan:  Oct 9, 2018 12:10 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam tindakan terbaru kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada anggota dan pendukung Ikhwan Muslimin, kata Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Tahir.

"AMANAH mengutuk keras tindakan kerajaan Mesir pimpinan Abdel Fattah Al-Sisi yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada 75 pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin termasuk sejumlah wartawan atas tuduhan terlibat dengan demostrasi membantah penggulingan presiden Mohamed Morsi pada 2013.

"AMANAH melihat hukuman mati terhadap pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin ini, hanya kerana terlibat menganjurkan demonstrasi aman, sebagai tidak lebih daripada tindakan politik semata-mata dalam usaha melenyapkan pertubuhan Islam tersohor itu," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

AMANAH juga mendesak badan-badan hak asasi dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) untuk turut memainkan peranan.

"...agar keadilan diberikan kepada pemimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin yang terlibat," katanya lagi.

ADS

Mohamed Morsi dipilih menjadi presiden Mesir selepas revolusi 2011 yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak.

Bagaimanapun, Morsi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Julai 2013 dan pertubuhannya Ikhwanul Muslimin diharamkan pemerintah Mesir. Sejak itu, Morsi berhadapan dengan beberapa kes perbicaraan.

Pada April 2015, beliau dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana mengarahkan penangkapan dan penyiksaan terhadap penunjuk perasaan di luar istana presiden pada 2012.

Pada September 2016, beliau dijatuhkan hukuman 25 tahun penjara kerana membocorkan bahan perisikan ke Qatar dan pada Disember 2017, Morsi dihukum penjara 3 tahun kerana menghina mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS