Sarawak Report turut mengkritik penulis Billion Dollar Whale kerana mematerai perjanjian dengan Michelle Yeoh untuk menghasilkan filem berkaitan skandal 1MDB.
Laman pendedah maklumat itu menyifatkan pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh itu sebagai penyokong BN.
“Pihak yang menulis buku mendakwa Jho Low 'memperbodohkan perdana menteri, bank dan dunia' akhirnya pilih pelakon yang menyokong BN Michelle Yeoh untuk menerbitkannya!
“Saya cadangkan orang ramai tonton filem akan datang The Sarawak Report (oleh pihak yang betul-betul dedahkan 1MDB) untuk kisah sebenar,” tulis pengarangnya Clare Rewcastle Brown di Facebook.
Rewcastle Brown sebelum ini menuduh penulis Billion Dollar Whale Tom Wright dan Bradley Hope mendapatkan maklumat penting berkaitan 1MDB daripada sumbernya tetapi tidak memberi kredit kepada laman itu.
Malaysiakini sudah menghubungi Wright dan masih menunggu maklum balasnya.
Pengarah eksekutif kumpulan pemerhati antirasuah C4 Cynthia Gabriel turut menyifatkan Yeoh sebagai “oportunis murah” kerana menyokong bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
Gabriel antara anggota jawatankuasa khas yang menyiasat skandal 1MDB. Jawatankuasa itu dibentuk selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.