Walaupun majoriti responden tinjauan Merdeka Centre yakin dengan pengurusan ekonomi oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), mereka tetap masih tidak berpuas hati dengan kos sara hidup.
Tinjauan yang dibuat pada 7 hingga 14 Ogos itu mendapati 55 peratus responden tidak gembira dengan kos sara hidup semasa, manakala 41 peratus berpuas hati.
Ia walaupun 60 peratus responden menyatakan keyakinan terhadap pengurusan ekonomi kerajaan dan hanya 25 peratus sebaliknya.
Untuk rekod, peratusan yang tidak berpuas hati terhadap pengurusan ekonomi kerajaan sentiasa lebih tinggi berbanding yang berpuas hati sejak Mac 2014 apabila data dikumpul.
Trend itu hanya berubah setelah perubahan kerajaan selepas PRU ke-14.
Sebanyak 48 peratus responden juga optimis dengan kewangan peribadi mereka dan 56 peratus optimis dengan ekonomi negara, manakala 16 peratus dan 12 peratus pesimis.
Sementara itu, ada rasa tidak puas hati yang tinggi di kalangan orang Melayu dalam soal perlindungan terhadap Melayu dan Islam oleh kerajaan.
Namun berbeza dengan kos sara hidup, peratusan yang tidak puas hati dalam soal itu masih dalam minoriti.
50 peratus berpuas hati dan 44 peratus tidak berpuas hati dalam soal perlindungan terhadap orang Melayu, manakala 51 peratus berpuas hati dan 45 peratus tidak berpuas hati dalam soal perlindungan terhadap Islam.
Kebanyakan responden bukan Melayu pula secara umum berpuas hati dengan kedudukan kaum (62 peratus puas hati; 28 peratus tidak) dan agama (62 peratus puas hati; 23 peratus tidak) mereka.
Majoriti besar berpuas hati dengan reformasi kerajaan (72 peratus), hubungan antara kaum (69 peratus) dan soal menangani rasuah (65 peratus).
Tinjauan itu juga bertanya responden berhubung pandangan mereka terhadap prestasi HARAPAN dalam menunaikan janji pilihan raya.
Secara keseluruhan, 56 peratus berpuas hati dan 34 peratus tidak berpuas hati, manakala 10 peratus tidak pasti atau tidak menjawab.
Namun apabila diasingkan mengikut kaum, peratusan tidak berpuas hati di kalangan orang Melayu lebih tinggi, iaitu sebanyak 48 peratus, berbanding 42 peratus yang berpuas hati.
Berbeza dengan kaum bukan Melayu - 77 peratus orang Cina dan 88 peratus orang India berpuas hati. Hanya 17 peratus (Cina) dan lapan peratus (India) yang tidak.
Tinjauan itu melibatkan 1,160 pengundi dan menggunakan kaedah pensampelan rawak berstrata berdasarkan demografi negara.