Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menghembuskan nafas terakhir petang tadi, merupakan seorang ahli akademik terkemuka dan banyak berjasa kepada bidang pendidikan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Shaharuddin telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).
Menurut Amirudin, jasa dan pengorbanan Shaharuddin sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai dan allahyarham juga adalah sahabat rapat beliau serta rakan seperjuangan dalam politik.
“Genap sebulan setelah pemergian allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan.
ADUN Seri Setia meninggal dunia
“Sebagai Naib Presiden PKR, allahyarham banyak berkongsi pendapat hasil pengalaman luas sebagai aktivis semasa di dalam pergerakan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan.
Amirudin berkata dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Shaharuddin semasa hayatnya, pemergian allahyarham adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan kerajaan Selangor.
“Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budinya. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Prof Shaharuddin atas pemergian ini.
“Saya mendoakan semoga anggota keluarga allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.
Shaharuddin, 55, yang juga merupakan ADUN Seri Setia, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pukul 6.28 petang tadi.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa allahyarham menghidap kanser usus tahap empat.
-Bernama