Peguam Negara, Tommy Thomas, telah menarik diri daripada semua perbincangan berhubung kes rasuah yang membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berikutan dakwaan percanggahan kepentingan.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam atu kenyataan hari ini, berkata Thomas tidak akan terlibat dalam sebarang keputusan yang akan diambil oleh pejabat itu berhubung kes Lim.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Peguam Cara Datuk Engku Nor Faizah Engku Ateh, dan Peguam Cara II Datin Paduka Zauyah T Loth Khan.
“Jadi mengambil kira kepentingan pelanggan yang diwakili sebelum ini, kedudukan peguam negara terikat kepada dua kaedah sedia ada dalam undang-undang bagi menyelesaikan keadaan ini.
“Kaedah pertama adalah bagi kes yang membabitkan beliau atas dasar peribadi sebagai peguam dan sebagai rakan, peguam negara akan dengan sendirinya menarik diri. Keputusan dengan itu akan diambil secara bersama dan perbincangan akan diadakan dengan pegawai kanan lain di jabatan ini sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Kaedah kedua, apabila peguam negara menentukan bahawa beliau tidak perlu menarik diri, beliau akan mengisytiharkan kepentingannya kepada anggota lain dalam pasukan yang membuat keputusan, yang kepentingannya itu direkodkan," kata kenyataan itu.
Mereka juga memaklumkan, apabila peguam negara memulakan tugas, beliau mengumumkan menerima prinsip konflik kepentingan yang terpakai ke atasnya.
Sebelum ini, pelantikan Tommy sebagai peguam negara dipertikai beberapa pihak kerana pernah menjadi peguam kepada Lim.
Pada 30 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memberi masa sehingga 3 September depan kepada pejabat peguam negara sama ada untuk menggugurkan tuduhan atau meneruskan perbicaraan kes rasuah dihadapi Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon.
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang, di bawah nilai pasaran.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Phang pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Lim berhubung pembelian banglo itu.