PRU14 | Tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih pimpinan, petugas Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk dewan undangan negeri Tendong, Pasir Mas, menutup bilik operasi utama hanya beberapa hari selepas kempen sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bermula secara rasmi.
Tindakan itu dibuat sebagai tanda protes mereka terhadap keputusan pucuk pimpinan memilih Wan Zulkhairi Wan Md Zain untuk merebut kerusi Tendong.
Alasan yang diberi - Wan Zulkhairi bukan anak tempatan
Timbalan Ketua BERSATU Pasir Mas, Samsudin Samad, berkata keputusan pucuk pimpinan memilih Wan Zulkhairi sebagai calon jelas tidak menghormati pendirian ketua bahagian yang menyenaraikan tiga calon tempatan untuk bertanding di Tendong.
"Kita adakan sidang media khusus untuk menyampaikan mesej sangat jelas bahawa kita ahli BERSATU peringkat Tendong terkilan dan tidak puas hati dengan pemilihan calon.
"Kami kecewa dengan pengerusi negeri kerana tidak memilih calon yang dicadang ketua bahagian (Annuar Hamzah) seramai tiga orang, jadi kami ahli di peringkat kawasan memutuskan untuk tidak membantu calon yang dipilih dan menutup serta merobohkan bilik operasi utama DUN Tendong," katanya pada sidang media di Pasir Mas, hari ini.
Samsudin berkata, calon tempatan yang disenarai pendek ketua bahagian untuk bertanding di kerusi itu adalah beliau sendiri, penyelaras DUN Tendong, Nuur Zabar Kamarnordin dan bekas pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri, Zahid Harin.
Sementara itu, Nuur Zabar turut menempelak pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor sebagai penipu.
"Pengerusi negeri ketepikan peranan ketua bahagian dengan tidak pernah mengadakan perbincangan.
“Beliau berjanji pemilihan calon dari ketua bahagian sebaliknya tidak mengotakan janji, dia tipu, sebab itu kita marah," katanya yang menyifatkan Wan Zulkhairi kroni kepada Kamaruddin.
Pada 9 Mei nanti, DUN Tendong akan menyaksikan saingan empat penjuru antara Wan Zulkhairi, Yahaya Mamat mewakili BN, Datuk Ibrahim Ali (bebas) dan penyandang Rozi Muhamad (PAS).
Sebagai rekod, Rozi memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 978 undi menewaskan Datuk Hanafi Mamat sebagai calon BN.
Sementara itu, Malaysiakini sedang menghubungi Kamaruddin bagi mendapatkan reaksi beliau mengenai perkara itu.