ADS
story images
story images
mk-logo
Berita

Pihak polis belum berhasil menjejaki bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuan bongsu mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Muhammad Fuzi Harun.

Mohd Fuzi berkata proses mengesan lokasi kedua-dua beranak itu dibuat secara berterusan berdasarkan maklumat yang diperoleh pasukannya.

“Hebahan kita sentiasa buat, mungkin cara kita tak buat hebahan dalam media massa, tapi tindakan untuk mengesan mereka berterusan.

“Itu yang jadi masalah pada kita, ada pihak (sumber polis) kata ada di Johor, ada di Kelantan jadi bila ada maklumat kita buat semakan tapi tak ada hasil setakat ini,” katanya.

Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Persatuan Isteri-isteri Polis (Perkeb) di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

ADS

5 Febuari lalu Mohamad Fuzi dalam satu kenyataan berkata usaha mengesan Muhammad Riduan yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, masih diteruskan sejak 2014 berdasarkan waran untuk pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Indira Gandhi bahawa polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menahan bekas suaminya yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya.

Pada 29 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

ADS

Ketiga-tiga anak mereka iaitu dua perempuan dan seorang lelaki kini berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Muhammad Riduan, 47, telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS