Malaysia tidak ada pilihan dan terpaksa menerima kehadiran diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) pada 7 hingga 13 Februari lalu.
Penganalisis politik antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar berkata, sebagai tuan rumah kepada forum berkenaan Malaysia perlu memenuhi syarat yang ditetapkan penganjur Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN-Habitat.
“Persidangan antarabangsa itu adalah anjuran PBB dan PBB tidak membeza-bezakan anggotanya. Jadi diplomat itu hadir atas kapasiti dan kedudukannya sebagai negara anggota PBB.
“Ini bermakna bukan Malaysia yang menjemput Israel atau menyediakan platform untuk mereka datang. Sebagai tuan rumah, Malaysia harus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk membenarkan kemasukan diplomat Israel,” katanya dipetik Sinar Harian.
Untuk kali pertama sekumpulan diplomat Israel tiba secara rasmi di negara ini ketika Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.
Mengesahkan kehadiran itu, jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara itu menghadiri satu persidangan UN-HABITAT, PBB berkaitan penempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.
Bukan iktiraf kekejaman Israel
Menurut Chandra, PBB juga tidak menghalang diplomat Israel daripada hadir ke forum berkenaan dan selaku tuan rumah, Malaysia terpaksa membenarkan kehadiran mereka ke negara ini.
Bagaimanapun, tindakan tersebut bukan bermaksud kerajaan Malaysia mengiktiraf kekejaman Israel ke atas Palestin.
“Tidak sama sekali. Malaysia tiada pilihan. Kita menjemput Israel bukan atas kehendak kita. Israel datang juga bukan kerana kerajaan Malaysia tetapi untuk menghadiri WUF.
“Kehadiran mereka, bukan langkah awal buat Malaysia membuka pintu kepada Israel,” katanya.
Pendirian isu Palestian
Sebaliknya, menurut Chandra, Malaysia tetap dengan pendiriannya berkaitan isu Palestin.
“Malaysia harus tegas dan bukan sekadar membuat kenyataan tetapi meneruskan usaha memberi kefahaman kepada negara lain tentang kekejaman dan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
“Kalau hendak lawan propaganda Israel, kita harus bersatu. Malaysia perlu memainkan peranan untuk menyampaikan kebenaran kepada masyarakat dunia tentang kezaliman dan kekejaman yang dilakukan Israel yang berterusan mahu menakluki wilayah Palestin,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Malaysia membenarkan kehadiran pasukan kriket Israel pada kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada 1997, Chandra berkata ia dua perkara berbeza.
“Bantahan yang dibuat ketika itu wajar, kerana mereka hadir atas jemputan Malaysia dan Israel masih lagi menduduki wilayah negara lain walaupun sudah menandatangani Perjanjian Oslo pada 1993,” katanya.
Rombongan diplomat Israel baru-baru ini yang diketuai Roet, timbalan duta Israel ke PBB menjadi rombongan rasmi yang pertama masuk ke negara ini secara sah.
Stesen televisyen Israel, Hadashot TV, melaporkan delegasi itu turut disertai bekas menteri negara Yahudi, Ofir Pines.
Menyifatkan sebagai 'pengalaman unik', Roet menyimpan harapan tinggi untuk kedua-dua negara menjalin hubungan baik pada masa depan.
WUF merupakan forum teknikal bukan perundangan yang dianjurkan setiap dua tahun bagi bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai cabaran perbandaran.
Difahamkan WUF dihadiri wakil 185 buah negara. Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa semua perwakilan.