Saman sivil yang difailkan keluarga mangsa yang mati dalam tahanan, Kamarulnizam Ismail ditangguhkan kepada 15 Mei selepas kerajaan selaku defendan memohon lebih banyak masa untuk memfailkan pembelaan.
Pada bulan Mac 2014, Kamarulnizam didapati tidak sedarkan diri dan meninggal dunia tiga hari selepas dipenjarakan di penjara Tapah.
Keluarganya memfailkan saman berkenaan selepas mendakwa berlaku serangan dan kecuaian oleh pihak polis.
"Inkues yang dijalankan berada di penghujungnya jadi kami failkan saman sivil sebelum tempoh statut (36 bulan) berakhir.
"Tetapi kerajaan memerlukan lebih banyak masa supaya Hakim Anslem Fernandez membuat keputusan ini (penangguhan) di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini," jelas peguam keluarga M Visvanathan kepada Malaysiakini.
Kamarulnizam, seorang pekerja kilang, pertama kali ditahan di Balai Polis Bandar Perda di Pulau Pinang kerana kesalahan memiliki barangan curi pada bulan Mac 2014.
Beliau kemudian didakwa mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dihukum penjara 14 hari serta denda RM800 sebelum dipindahkan ke penjara Tapah.
Visvanathan berkata saksi semasa inkues itu mendakwa Kamarulnizam memberitahu dia dipukul ketika berada di balai polis tersebut.
Selepas tiga hari berada di penjara, beliau ditemui tidak sedarkan diri dalam sel penjara Tapah dan kemudian meninggal dunia di hospital Tapah.
Laporan bedah siasat mendapati Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang teruk, namun keluarganya mendapati lebam pada badannya tidak konsisten dengan punca kematian, lantas membuat laporan polis.
Mereka kemudian meminta inkues bagi menyiasat punca kematian di Mahkamah Sesyen Ipoh.