Rang undang-undang (RUU) mencadangkan pindaan undang-undang berskala besar untuk menyelesaikan masalah yang timbul ekoran perceraian dan hak penjagaan anak selepas pasangan memeluk Islam telah dibentangkan hari ini.
Pembentangan RUU berkenaan berikutan banyak kes pertelagahan hak penjagaan anak berprofil tinggi antara pasangan bukan Islam dan pasangan yang memeluk Islam selepas perkahwinan mereka di bawah undang-undang sivil.
Menurut nota penerangan Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, pindaan membolehkan pasangan yang memeluk Islam mendapatkan hak untuk memfailkan perceraian di mahkamah sivil.
RUU tersebut mahu meminda Seksyen 51(1) akta tersebut bagi menghapuskan klausa yang tertera: "Jika satu pihak dalam mana-mana memeluk Islam, pihak yang satu lagi yang tidak mahu menukar agama boleh membuat petisyen untuk perceraian".
Seksyen baru 51(1) dan (2) akan membenarkan 'salah satu pihak' atau 'kedua-dua pihak' untuk memfailkan petisyen perceraian. Beberapa perkataan Seksyen 3 juga akan dipinda untuk mencapai kesan yang sama.
Menurut nota penerangan RUU, oleh kerana undang-undang pada masa ini tidak membenarkan pasangan yang telah memeluk Islam mendapatkan hak untuk bercerai di bawah undang-undang sivil, beberapa pasangan yang telah menukar agama mendapatkan bantuan di Mahkamah Syariah.
"Konflik akan timbul apabila kedua-dua pasangan membuat permohonan di dua mahkamah yang berbeza iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah dengan kedua-dua mahkamah membuat perintah yang berbeza," menurut nota tersebut.
Agama anak-anak
RUU tersebut mahu memasukkan peruntukan baru yang menetapkan bahawa agama mana-mana kanak-kanak hasil daripada perkahwinan sivil boleh mengekalkan agama yang sama walaupun salah seorang daripada pasangan telah memeluk Islam, dengan kaveat.
"...kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju dengan penukaran kanak-kanak untuk memeluk Islam, tertakluk kepada kemahuan kanak-kanak apabila mencapai umur lapan belas tahun," menurut Seksyen 88A (1) yang baru.
Pindaan kepada Seksyen 12(1) bertujuan memberikan hak sama rata kepada ibu atau ibu angkat kepada anak-anak di bawah umur 21 tahun dalam memberi kebenaran untuk perkahwinan, sama seperti yang diberikan kepada bapa.