ADS
mk-logo
Berita
Wujud JK khas pantau aspek keselamatan tapak pembinaan

ULASAN Sudah sampai masanya pihak kerajaan mempertimbangkan dengan serius bagi mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau tahap keselamatan di semua tapak pembinaan dalam negara kita khususnya tapak-tapak pembinaan yang berisiko tinggi yang boleh membawa kepada kejadian yang tidak diingini kepada orang awam.

Ini adalah susulan berita mengenai dua orang maut selepas sebuah kren statik tumbang dan menghempap
kereta yang mereka naiki di Persiaran Astana, Klang.

Walaupun insiden terbaru yang berlaku berkenaan masih dalam siasatan, namun isu yang melibatkan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja khususnya di kawasan tapak pembinaan yang penuh dengan jentera berat, mesin serta alatan yang bahaya, memerlukan proses pemantauan yang menyeluruh serta secara berterusan.

Untuk rekod ini bukanlah insiden terbaru yang berlaku, pada bulan Ogos yang lalu seorang pemandu kereta wanita maut apabila kereta yang dipandunya dihempap oleh besi penyangkut yang dipercayai terjatuh dari sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Insiden berkenaan berada dalam siasatan oleh pihak polis mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana
menyebabkan kematian dengan cuai. Aspek keselamatan di tempat kerja perlu diberi keutamaan oleh semua pihak sama ada pihak majikan mahu pun pihak pekerja.

ADS

Semua pihak perlu saling bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk menjaga keselamatan di tempat kerja kerana sebarang insiden kemalangan bukan sahaja akan melibatkan individu-individu yang berkerja di tempat kerja berkenaan malah akan turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

Semua tempat kerja perlu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan melalui Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514) yang telah dikuatkuasakan semenjak tahun 1994.

Akta 514 memberi fokus ke arah pembentukan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara.
Akta 514 terbabit telah menyediakan satu bentuk rangka perundangan bagi memupuk, merangsang dan menggalakkan mutu keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja dengan meletakkan tanggungjawab memelihara keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada semua pihak yang berada di tempat kerja terbabit.

ADS

Selain pematuhan Akta 514, pihak berkuasa yang berkaitan juga perlu menjalankan pemeriksaan di setiap kawasan pembinaan yang ada dalam negara kita bagi memastikan pekerja yang mengendalikan atau menjalan sesuatu tugas adalah mereka yang berkepakaran dalam bidang yang ditugaskan.

Pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap pekerja terutamanya pekerja asing yang banyak berkerja di tapak pembinaan mempunyai permit, visa, atau lesen yang sah seperti yang telah diperuntukkan oleh Jabatan Imigresen.

Insiden kemalangan yang melibatkan kren tumbang hingga mengorbankan nyawa orang awam serta pekerja yang berada dalam kawasan pembinaan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Aspek pematuhan undang-undang serta polisi mengenai penjagaan keselamatan mesti sentiasa dipatuhi pada setiap masa.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pensyarah kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS