ADS
mk-logo
Berita
'Pelajar perubatan luar negara perlu pastikan kewangan cukup'

Pelajar yang mahu mengikuti jurusan perubatan di luar negara dengan pembiayaan sendiri, perlu memastikan mereka mempunyai bantuan kewangan yang mencukupi bagi menampung pembelajaran dan kos
sara hidup.

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata ibarat 'sediakan payung sebelum hujan', mereka juga perlu mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk kos tambahan yang mungkin ditanggung sepanjang sesi pengajian.

"Bagi tujuan ini, pelajar perlu merangka pelan pengajian yang komprehensif termasuk perbelanjaan harian, kos bahan-bahan ilmiah, pengangkutan dan tempat tinggal untuk menentukan sama ada mereka mampu atau tidak untuk belajar di luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai 150 pelajar perubatan
tempatan di Mesir yang kini dibebani masalah kewangan termasuk tunggakan yuran pengajian sehingga RM4.5 juta keseluruhan.

Tanpa tajaan atau pembiayaan pendidikan, setiap pelajar persendirian
daripada lapan universiti termasuk Universiti Al-Azhar, Universiti Zagazig dan Universiti Alexandria di Mesir itu dilaporkan hanya bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian kira-kira RM33,033 setahun serta sara hidup.

ADS

Jelas Dr Ahmad Shukri, kegagalan merancang menyebabkan golongan ini bakal berdepan dengan banyak risiko, bukan sahaja tidak dapat meneruskan pengajian tetapi juga terpaksa berhabis ribuan ringgit, tenaga dan masa.

Sedangkan katanya, mereka boleh mendalami bidang lain sebagai langkah alternatif dan belajar di dalam negara memandangkan kursus pengajian dan universiti tempatan juga sama hebat.

Sementara itu, beliau turut menarik perhatian terdapat segelintir daripada
pelajar yang sebenarnya tidak layak untuk mengambil jurusan perubatan namun tekad untuk mencuba dengan alasan mampu mendapatkan keputusan cemerlang di tahun pertama pengajian.

"Hal ini yang menjadi masalah kerana apabila mereka terkandas di tahun
pertama dan terpaksa ulang semester, maka perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk pembelajaran di tahun-tahun lain terpaksa digunakan dan menyebabkan baki simpanan berkurangan," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS