Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
5 soalan Kit Siang kepada Jho Low
Diterbitkan:  Apr 22, 2016 12:11 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Selepas menyeru agar Low Taek Jho or Jho Low pulang ke Malaysia dan menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung keterlibatan beliau dalam urusniaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lim Kit Siang hari bersiap sedia dengan lima soalan untuk ditanya kepada ahli perniagaan kontroversi itu.

Lima soalan dari Ahl Parlimen Gelang Patah itu ialah :

1. Berapa banyak yang telah dibelanjakan dalam operasi khas semasa pilihan raya umum ke-13 bagi menumbangkan Setiausaha Agung yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, di kerusi dewan undangan negeri Air Puteh, dengan wang mengalir seperti air untuk mengadakan makan malam percuma angpow, cabutan bertuah dan habuan lain kepada pengundi Air Puteh? RM30 juta atau RM40 juta? Apakah duit itu datang dari 1MDB menerusi syarikat-syarikat palsu pesisir pantai? Apakah beliau pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah dan politik wang untuk operasi khas itu?

2. Apakah hubungan sebenar beliau dengan 1MDB dan Good Star Limited? Apabila Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dengan sewenang-wenangnya memadamkan bahagian utama dalam Laporan PAC untuk 1MDB, beliau memfokus kepada intipati utama dalam skandal global 1MDB. Bahagian utama menyatakan Bank Negara Malaysia telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkaitan di luar negara atas dasar sukarela bahawa penerima faedah utama Good Star Limited ialah individu yang tidak berkaitan dengan Kumpulan Petrosaudi. 1MDB membayar AS$700 juta dan AS$330 juta kepada Good Star Limited pada 2009 dan 2011 walaupun dana tersebut adalah bertujuan untuk pelaburan dalam Petrosaudi. Apakah Jho Low ingin menafikan bahawa beliau adalah penerima faedah Good Star Limited? Inginkah beliau menafikan dirinya adalah dalang urusniaga usahasama 1MDB-PetroSaudi Joint Venture pada bulan September 2009 yang mengherat 1MDB dan Malaysia ke kancah skandal kewangan global untuk kali pertama?

3. Apakah hubungan beliau dengan firma palsu, Aabar Investment PJS Limited ditubuhkan di British Virgin Islands yang secara tersilap menerima bayaran AS$3.5 bilion daripada 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investment PJS?

4. Apakah beliau menghantar emel mengenai “681 pie Amerika” menandakan deposit AS$681 juta ke dalam akaun peribadi Najib pada bulan Mac 2013? Apa hubungan dengan syarikat palsu BVI, Tanore Finance Corp, yang mana penyiasat global percaya itulah firma yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun Najib. Dilaporkan lebih AS$1 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam masa beberapa tahun.

5. Apakah hubungannya dengan syarikat palsu kedua, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, satu lagi syarikat berdaftar BVI, yang didakwa menghantar pelbagai bayaran matawang ke akaun peribadi Najib?

Semalam, Lim berkata, Jho Low harus pulang dan memberi keterangan kepada PAC kerana :

"Najib hanya tanda tangani dokumen; Jho Low adalah orang yang tahu bagaimana semua ini bermula, dan dia tahu lebih dari Najib," ujarnya.

Lim turut mempamerkan keratan akhbar yang menunjukkan kehadiran Jho Low di Pulau Pinang semasa pilihanraya umum 2013 bagi menyaksikan majlis penyampaian derma oleh 1Malaysia Penang Welfare Club.

Kementerian Kewangan, dalam jawapan balas di Parlimen pada Disember 2015, mengakui Jho Low menghadiri mesyuarat lembaga pengarah 1MDB bagi pihak keluarga diraja Arab Saudi tetapi tidak terlibat dalam rundingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS