Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti puji menteri sekat atlet Israel
Diterbitkan:  Dec 27, 2015 12:17 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi, hari ini mendapat pujian daripada Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya, tindakan itu adalah tepat kerana sukan dan kemanusian tidak boleh dipisahkan.

Asri berkata demikian merujuk kepada tindakan kejam Israel yang sering kali menindas rakyat di bumi Palestin.

“Saya ingin memuji pendirian YB KJ. Sukan tidak boleh berpisah dari kemanusiaan. DAP hanya memikirkan hak sukan Israel namun tidak begitu nyata selama ini pendirian DAP terhadap hak kemanusiaan rakyat Palestin,” kata Asri dalam kenyataan di laman Facebook.

Khairy dilaporkan portal The Malay Mail Online berperanan dalam penafian visa berdasarkan dasar diplomatik Putrajaya terhadap Israel.

Bagaimanapun tindakan ketua pemuda Umno itu mendapat kritikan hebat dari DAP Perak yang menyelar Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa.

Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin dalam satu kenyataan semalam berkata pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan Yoav Omer dan Noy Drihan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf) itu.

Selain visa dinafikan, portal itu melaporkan bahawa Malaysia telah mengenakan beberapa sekatan ke atas peserta Israel berkenaan.

Antaranya ialah sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol. Lagu kebangsaan Israel juga tidak akan dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas.

Lima puluh negara dilaporkan akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Belanda, Jerman dan Perancis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS