Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Dirang rancang pindah ke kediaman lain
Diterbitkan:  Mar 14, 2012 8:24 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Keluarga Nurul Nadirah Abdullah, kanak-kanak malang yang dibunuh dan dibakar, merancang untuk berpindah ke kediaman lain bagi melupakan kisah pahit yang berlaku terhadap mereka.

    

Ibu Allahyarham, Roselyn Alan, 25, berkata beliau merancang untuk berpindah kerana tidak sanggup berasa sedih setiap kali terbayangkan Nurul Nadirah, yang mesra dipanggil Dirang, di setiap sudut rumah itu.

"Buat masa ini saya belum tahu mahu berpindah ke mana kerana suami masih belum mendapat kerja. Dulu memang pernah rancang untuk pindah tetapi suami masih tidak kerja. Saya rasa hendak pindah kerana bayang-bayang Dirang  sentiasa ada dalam rumah ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di Johor Bahru hari ini.

    

Roselyn yang dalam keadaan sugul, berkata sebagai orang Islam, beliau reda dengan kematian anaknya, namun tetap berharap pembunuh Dirang dapat diberkas dan dibawa ke tali gantung.

    

Katanya beliau ada bermimpikan arwah Dirang yang datang memeluknya sambil meminta supaya tidak bersedih sebelum terjaga-jaga dari tidur kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    

"Dia (Dirang) hanya pakai seluar berwarna biru dan memberitahu saya supaya tidak menangis kerana dia dalam keadaan baik. Dia juga mencium saya sebelum saya terjaga dari tidur," katanya menambah anak kedua daripada tiga beradik itu gemar menonton siri Upin dan Ipin serta Barbie setiap hari.

    

Roselyn dalam pada itu turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk jiran dan pihak berkuasa yang bersama-sama membantu mencari anaknya sepanjang dua minggu lepas.

    

Nurul Nadirah, 5, disahkan dibunuh dan dibakar selepas ujian DNA mengesahkan mayat rentung yang ditemui di Nusa Damai, Masai, dekat Johor Bahru Khamis lepas adalah mayatnya.

    

Kanak-kanak itu hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan rumahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS