Paling Popular
Terkini
story images
story images

Naib Presiden Umno dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh beberapa media massa menyatakan bahawa parti-parti politik yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir tidak berjaya dan beliau menyifatkan Tun M masih tidak ‘move on’ daripada Umno.

Dakwaan Khaled Nordin ini sebenarnya tidak berasas malah silap kerana Tun Dr Mahathir telah pun berjaya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerusi usaha ini jugalah Tun M berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dan akhirnya berjaya menumbangkan Umno BN pada pilihanraya umum ke 14 yang lalu.

Ini bukan sahaja membuktikan bahawa Umno bukanlah parti yang kebal sebaliknya rapuh dan boleh roboh.

Mengapa Umno lemah dan kalah? Umno pasca pimpinan Tun Mahathir telah menjadi sebuah parti yang lemah kerana kelemahan pimpinannya. Kelemahan ini disebabkan budaya ‘Cash Is King’ yang dimulakan oleh kumpulan kleptokrat di dalam parti Umno.

Kelemahan ini terbukti menerusi beberapa siri pilihan raya negeri seperti PRN Melaka dan Johor. Ya benar, Umno menang di kedua-dua PRN ini namun dengan jumlah undi yang tidak begitu memberansangkan. Malah kemenangan Umno itu bukan kerana Umno kuat, sebalik kerana jumlah peratusan keluar mengundi yang amat rendah atas faktor pandemik Covid 19 selain daripada faktor pembangkang yang berpecah.

Kembalinya Tun M dari persaraan adalah atas sebab perjuangan Umno telah menyimpang daripada landasannya. Jika Khaled Nordin masih ingat, apabila Najib dilantik menjadi Perdana Menteri, Tun M kembali ke pangkuan Umno namun ia tidak lama kerana Najib dan pimpinan Umno sudah berubah wajah, daripada parti yang membela nasib rakyat kepada parti kleptorat.

Perubahan hala tuju Umno inilah yang menyebabkan negara dibelengu dengan pelbagai masalah hingga terkesan kepada seluruh rakyat menerusi hutang yang menggunung serta ketirisan wang kerajaan dalam skandal 1MDB.

Skandal 1MDB ini bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia di seluruh dunia, malah negara telah berhutang dengan sangat banyak dan hutang-hutang ini perlu ditanggung oleh rakyat Malaysia untuk tempoh yang lama.

Sebelum tertubuhnya parti Bersatu, Tun turut menyeru kepada pimpinan Umno termasuk Khaled Nordin untuk menukar Najib Tun Razak, namun seruan ini tidak diendahkan malah Tun M dan Tun Siti Hasmah diganggu dengan pelbagai ugutan dan siasatan apabila bersuara dalam skandal 1MDB ini.

Oleh kerana seruan Tun M itu tak diendahkan, maka mahu tidak mahu Tun terpaksa menubuhkan parti Melayu yang baru untuk menukar pentadbiran ini. Dan ia telah berjaya, namun selepas kejayaan itu, pengkhianatan oleh pimpinan parti berlaku lagi.

Khaled Nordin seharusnya berlapang dada dengan kritikan Tun M kerana di mana beliau berada pada hari ini, secara tidak langsung adalah atas jasa Tun M kepada pimpinan Umno. Khaled perlu menerima hakikat bahawa kritikan Tun M ini berasas dan beliau sebenarnya sedar atas perkara ini, tetapi beliau memilih untuk menutup mata hati dari menerima cahaya kebenaran.


MAHDZIR IBRAHIM Ialah AJK Penerangan Gerakan Tanah Air Pusat (GTA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS