Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerajaan peruntuk RM50 juta pelihara khazanah bahasa
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 7:55 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi merancakkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan terutamanya dalam kalangan anak muda.

Ketika pembentangan Belanjawan Madani 2025 hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui berkata, inisiatif itu bagi menjaga khazanah bahasa dan sastera supaya tidak dilupakan.

“Saya selalu tekankan dalam (buku) Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai.

“Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Bagi mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan, kerajaan menyediakan RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Menurutnya, peruntukan tersebut termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater dan memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.

Pada masa sama, kerajaan juga meningkatkan peruntukan buat Dana Kandungan Ditigal, Insentif Filem Malaysia (FIMI) dan Mycreative Ventures untuk menyokong industri kreatif tempatan.

“Peruntukan Dana Kandungan Digital ditingkatkan kepada 65 juta ringgit bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.

“Hampir 40 juta ringgit turut disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia.

“MyCreative Ventures pula disediakan 25 juta ringgit bagi menyokong industri kreatif melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan menyediakan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif,” katanya.

Anwar turut berkata, Program Belia Kreatif Madani akan dianjurkan bagi menarik hampir 16 ribu anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan 30 juta ringgit.

“Aktiviti disematkan termasuklah bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS