Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib enggan terima permohonan maaf 'tak ikhlas'

Menganggap dia menjadi mangsa fitnah melampau, pelawak dan penyampai radio, Shuib, bertegas enggan menerima permohonan maaf daripada seorang pengguna Instagram, khususnya dianggap pembunuh isteri sendiri.

Sebaliknya Shuib memilih untuk menyelesaikan kemelut tersebut di mahkamah.

Menjelaskan pendiriannya, Shuib berkata, dia menganggap permohonan maaf yang dibuat individu terbabit tidak ikhlas walaupun ia turut membabitkan nama bekas isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

“Dia sudah hubungi saya melalui Direct Message (Instagram) malam tadi, tapi saya boleh tahu cara dia bukan ikhlas nak minta maaf.

“Memang dia juga tawarkan diri untuk minta maaf secara terbuka tapi saya rasa, eloklah kami berjumpa di mahkamah saja.

“Sebabnya saya tak pernah jumpa atau kacau pun keluarga dia,” katanya.

Menurut Shuib, 38, ketika ini individu terbabit mungkin sudah pun menerima surat daripada peguamnya.

Hal itu kerana, kata Shuib, dia memang sudah tahu butiran individu terbabit termasuk nama, nombor telefon dan juga alamat rumahnya.

“Kalau betul berani, jom kita ke mahkamah,” katanya pada satu sidang media khas di sebuah kafe milik Shuib di Cheras, hari ini.

Shuib (kiri) menjawab soalan wartawan di Cheras

Terdahulu, kenyataan individu terbabit dilihat menambah bara atas situasi panas ekoran Shuib kononnya mempunyai kaitan dengan Freemason.

Shuib juga dituduh memaksa Siti Sarah untuk setuju ditidurkan ketika penyanyi itu dijangkiti Covid-19 bagi mempromosikan vaksin.

Menambah kekeruhan, tular pula imej Shuib dengan isteri barunya, Watie Hanifiah, yang tampil dengan gaya menutup sebelah mata dengan maksud mempromosi sebuah kedai barang kemas.

Untuk rekod, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19 ketika dia sedang hamil anak bongsunya Ayash Affan.

Jejas keyakinan anak-anak

Pada sidang media Shuib hari ini, seorang lelaki yang turut menyebarkan dakwaan palsu berkenaan pasangan terbabit juga hadir.

Berbeza dengan individu terdahulu Shuib menganggap lelaki terbabit, Zulhairi Abu Othman, 35, menyebarkan dakwaan itu kerana naif, justeru menerima permohonan maafnya.

“Lepas dia jawab panggilan telefon, saya boleh rasakan budak ini seorang yang naif dan dia ada budi bahasa,” katanya.

Menurut Shuib, dia memilih untuk tidak memanjang kemelut dia dengan Zulhairi kerana lelaki terbabit berani untuk bercakap dengannya termasuk bertemu empat mata hari ini.

“Jadi, saya maafkan awak Zulhairi, saya doakan awak dan harap isu ini tidak mengganggu kerjaya dan keluarga awak. Isu dengan Zulhairi selesai.

“Awak berani angkat telefon, berani datang hari ini, kira awak gentle (budiman) lah,” katanya sambil bersalaman dengan lelaki berkenaan.

Mengulas lanjut, Shuib berkata tohmahan dan fitnah mengaitkan dia sebagai ahli Freemason menjejaskan bukan saja nama malah kepercayaan anak-anaknya.

Shuib dan Zulhairi Abu Othman berpelukan selepas menyelesaikan kemelut di antara mereka

Ujarnya, pada peringkat awal dia enggan mengambil pusing dakwaan yang berlaku tetapi bertukar fikiran selepas nama arwah isterinya dikaitkan selain anak-anak sudah mula bertanya soal itu.

“Penyebab saya bersuara apabila mereka babitkan nama arwah Siti Sarah dan anak-anak pula bertanya; Daddy betulkah ibu meninggal dunia bukan sebab Covid-19? Jadi apa saya nak jawab?

“Tuduhan ini melampau! Tentulah saya marah, sebab saya tahu perjalanan isteri saya sebelum masuk hospital sampailah saya lihat dia dalam beg plastik mayat,” katanya.

Sementara itu, Zulhairi mengakui dia menyesal kerana menyalin semula kenyataan mengenai Shuib tanpa usul periksa dan menyebar fitnah tanpa memikirkan impaknya terhadap orang lain.

Dakwa pekerja swasta itu, dia berbuat demikian kerana ingin mendapatkan kepastian mengenai pelawak yang diminatinya itu.

“Saya tinggalkan komen itu selepas pulang dari kerja. Selepas bangun tidur, saya lihat komen itu tular dan bertindak untuk tutup akaun kerana tak mahu keruhkan keadaan.

“Saya nasihatkan netizen lain janganlah mudah percaya sesuatu perkara dan suka menyebar fitnah. Perkara ini dah berlaku pada diri sendiri.

“Jadi apabila Shuib call, saya terus angkat dan bersetuju untuk bersemuka atas rasa kekesalan.

"Sebelum Shuib call, saya ada usaha untuk hubungi dia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS