Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib nak saman individu fitnah dirinya ahli Freemason
Diterbitkan:  Jul 3, 2023 3:44 PM
Dikemaskini: Jul 4, 2023 8:00 AM

Pelawak dan penyampai radio, Shuib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang memfitnah dirinya sebagai ahli kumpulan Freemason.

Malah individu berkenaan juga mendakwa kematian Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin mempunyai kaitan dengan organisasi berkenaan.

Tidak dapat menahan sabar dengan tuduhan celupar itu, Shuib memberi tempoh 24 jam kepada individu terbabit untuk bersemuka.

“Banyak hari saya sabar, hari ini saya terpanggil untuk berkenalan dengan mamat ini yang mana tulisannya terlalu hebat dan berani.

“Kenapa kau libatkan arwah isteri aku Siti Sarah dengan Freemason? Apa yang kau tahu? Mari cakap depan-depan aku.

“Aku bagi 24 jam. Cari aku. Peguam tengah jalankan kerja. Tunggu,” katanya.

Shuib atau Shahmira Muhammad,38, berkongsi perkara itu melalui akaun Instagram miliknya yang turut memaparkan hantaran dari pengguna Facebook berkenaan.

Individu itu dipercayai membuat kenyataan selepas imej Shuib bersama isteri barunya, Watie tular di media sosial.

Dalam sesi fotografi berkenaan, Shuib dan isteri dilihat menutup sebelah mata masing-masing.

Perbuatan itu didakwa kononnya sinonim dengan Freemason, sedangkan sebenarnya ia hanyalah iklan untuk sebuah kedai barang kemas.

Untuk rekod, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19 ketika sedang hamil anak bongsunya Ayash Affan.

Menerusi hantaran berkenaan, individu terbabit mendakwa Siti Sarah dipaksa ditidurkan kerana Shuib ingin membuktikan pada ibu-ibu mengandung mengenai risiko tidak mengambil vaksin Covid-19.

Pengguna Facebook itu turut mendakwa organisasi yang bermula dengan huruf F (Freemason) menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin.

“Tak sangka eh bekas Mat Kilang ini ahli F juga, pasal arwah SS (Siti Sarah) itu pun kita memang tahu dia dipaksa untuk ditidurkan sebab mamat ini nak buktikan pada ibu-ibu mengandung di luar sana yang kalau kau tak cucuk vaks (vaksin) kau berisiko tinggi untuk mati.

“Dan benda itu viral dan berduyun-duyun ibu mengandung yang pergi cucuk,” tulis individu itu dalam hantaran tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS