Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

WAWANCARA | Ratu 'drag' Carmen Rose dan Just Acne antara lapan yang terlibat persembahan dalam paparan video muzik bersama usahawan kosmetik Vida baru-baru ini.

Video muzik lagu bertemakan hari raya oleh usahawan kosmetik itu yang berjudul 'Muah Muah Raya' telah menimbulkan kebimbangan segelintir netizen kerana dianggap "mempromosikan" golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual tambah (LGBT+).

Sejak dimuat naik ke YouTube bulan lepas, Vida, yang nama sebenarnya Hasmiza Othman, dan pengarah video muzik Kel Wen telah mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil mereka untuk disoal siasat kerana memuat naik video itu di akaun media sosial mereka.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, Carmen Rose dan Just Acne berkata mereka berdua tahu apa yang mereka akan hadapi ketika mengambil bahagian dalam video itu kerana mereka memahami demografi penonton Vida.

Bagi tujuan menjaga identiti peribadi mereka, kedua-duanya hanya ingin dikenal dengan nama pentas mereka sahaja.

"Kami semua tahu apa akibatnya, dan itulah sebabnya kami mengambil kerja itu. Kami tahu kami akan mendapat tindak balas, tetapi kami juga akan menggunakan peluang itu (untuk kelebihan kami sendiri).

"Saya tahu dia menggunakan kami. Kami sangat sedar akan perkara itu, tetapi saya harap dia boleh membela kami - bukannya cuba kembali kepada cara lama untuk berkata, 'Oh, saya tidak menyokong mereka' secara terbuka.

"Jadi, itulah sebabnya kami perlu tampil mempertahankan diri," kata Carmen Rose (gambar, bawah).

Perkara ini disuarakan oleh Just Acne, yang memahami bahawa tindak balas Vida terhadap kritikan itu datang daripada pendiriannya sebagai seorang usahawan.

“Bagi saya, saya gembira Vida menerima kami kerana seseorang perlu melakukannya, dan dia mempunyai platform yang besar.

“Di mana artis-artis liberal? Mereka tidak pernah mendekati kami.

“Bagi kami, ya, kami (sudah) mulakan sesuatu (untuk) masa depan di mana artis lain (kini boleh) mendekati kami, jadi ia pendedahan.

"Orang lain melihatnya sebagai pendedahan yang tidak baik - tetapi bagi kami, ia tetap pendedahan,” kata Carmen Rose, yang merupakan pereka grafik bebas.

Carmen Rose mula terlibat dalam persembahan ratu 'drag' sejak sepuluh tahun yang lalu meskipun kesenian pentas itu tidak begitu diiktiraf - malahan dalam komuniti LGBT+ tempatan sendiri.

Bagi Just Acne (gambar, bawah), pengenalan mereka kepada dunia ratu 'drag' terhasil melalui minat mereka terhadap solekan dan latar belakang terlibat seni persembahan ketika mereka masih di bangku sekolah.

Persembahan pertama mereka berlangsung sebagai bantuan kepada rakan karib dan pemuzik tempatan, Alextbh, ketika jelajah dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

“Saya akan katakan, (ratu drag) macam teater bagi saya, tetapi anda akan mendapat kepuasan secara langsung daripada penonton, dan anda boleh berinteraksi dengan penonton - sedangkan, dalam teater, anda tidak boleh benar-benar berinteraksi dengan penonton.

"Saya sangat suka membuat persembahan, dan itulah cara saya melakukannya," kata Just Acne, yang bekerja sebagai pencipta kandungan dan artis solek di samping kerjaya mereka sebagai ratu 'drag'.

Berdasarkan pengalaman peribadi mereka, dia berkata orang ramai di negara ini masih salah faham tentang ratu 'drag' walaupun dengan populariti rancangan realiti televisyen seperti Ru Paul's Drag Race sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keliru ratu ‘drag’ dan transgender

“Orang trans boleh melakukan 'drag', tetapi 'drag' bukanlah identiti jantina. Ia hanya seni persembahan.

“Ia seperti solekan yang berlebihan dan sebagainya. (Menjadi) trans ialah identiti jantina. Ia sesuatu yang mereka lalui setiap hari. Ia bukan persembahan; itu siapa diri mereka. 'Drag' lebih seperti seni persembahan,” katanya.

"Di Malaysia, saya rasa ramai orang keliru dengan perkara itu kerana apabila anda menjadi ratu 'drag', mereka secara automatik menganggap anda trans kerana saya melihat orang mengulas, dan mereka menyangka kami trans," tambahnya.

Sesiapa sahaja dan semua orang boleh melakukan 'drag', kata Carmen Rose, selagi anda menghormati dan memahami sejarah dan budaya dari mana asalnya.

Perkataan "transgender" - dipendekkan kepada "trans" - bertindak sebagai istilah umum bagi mereka yang identiti jantinanya berbeza daripada jantina yang diberikan semasa lahir.

Sementara itu, "ratu drag" ialah ekspresi sementara berdasarkan jantina.

Kedua-dua artis 'drag' ini merasakan bahawa selepas video Vida itu, terdapat salah faham mengenai komuniti 'drag' tempatan - yang mereka anggap sebahagiannya berpunca daripada media.

Dia berkata walaupun ramai yang cuba menggambarkan kehidupan seorang ratu drag sebagai tidak selamat di Malaysia, masih ada cara untuk membuat persembahan dalam persekitaran yang selamat dengan penonton yang sesuai.

Just Acne menambah niat mereka tidak sekali-kali untuk mempengaruhi orang supaya menjadi gay.

“Kami hanya mahu mereka menikmati seni itu. Selain itu, anda tidak boleh mempengaruhi seseorang untuk menjadi gay,” katanya.

Vida sebelum ini berkata muzik video itu bertujuan untuk hiburan tetapi sebaliknya berdepan aduan yang menuduhnya mempromosikan komuniti LGBT+.

Vida berkata muzik video bertajuk ‘Muah Muah Raya’ itu hanya perlu dilihat sebagai hiburan semata-mata.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS