Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa, suami hantar representasi mohon tarik balik pertuduhan
Diterbitkan:  Oct 21, 2021 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Peguam pasangan Noor Neelofa Mohd Noor dan Haris Ismail sudah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan ke atas mereka.

Ia berhubung kes rentas negeri dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan, Mei lalu.

Peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili pasangan itu berkata, salinan representasi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

“Representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan kami memohon untuk menarik balik pertuduhan kepada anak guam kami.

“Kami berasakan secara asasnya pertuduhan yang dibawa bukanlah satu kesalahan bawah kesalahan yang dituduh,” katanya dipetik Astro Awani.

Menurutnya, pihak pembelaan juga diberi masa selama sebulan bagi mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dalam prosiding hari ini pula memaklumkan, pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada pihak pembelaan.

Jelasnya, pihak pendakwaan memerlukan tempoh sebulan untuk mengkaji representasi yang telah dikemukakan.

Majistret Mohd Firdaus Saleh kemudian menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021 pada 20 Mei lalu.

Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz didakwa atas dua kesalahan iaitu gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasa aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual.

Dia juga tidak memakai pelitup muka sewaktu di Kedai Naem Carpet Sdn Bhd, kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera semasa daftar masuk di premis berkenaan atau tidak menulis secara manual paa masa dan tarikh sama.

Pasangan itu berdepan hukuman denda tidak melebih RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS