Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyu 'menangis' di Pulau Kapas: Itu sungguh kejam, kata Mat Dan

“Jangan buat kesilapan sama berulang-ulang,” kata pengacara dan personaliti media sosial terkenal, Mat Dan, ekoran penemuan bangkai seekor penyu di Pulau Kapas, Terengganu, dipercayai mangsa kegiatan mencuri telur haiwan berkenaan.

Menurut Ikon Pelancongan Terengganu itu, amalan memakan telur penyu perlu dihentikan segera demi memastikan kelangsungan haiwan yang semakin pupus itu.

“Berhenti makan dan memburu telur penyu secara haram, elak kepupusan penyu.

“Saya sendiri tak sanggup nak bunuh penyu macam tu dan curi telur daripada badan haiwan berkenaan. Perbuatan seperti itu sungguh kejam,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mat Dan yang juga pelakon itu tidak menolak kemungkinan aktiviti penjualan telur penyu secara terbuka turut menambah ancaman kepada haiwan marin tersebut.

“Orang kata, jika tak ada permintaan, tak adalah lagi penjualan. Selagi ada orang mahu makan telur penyu, selagi tu perbuatan (memburu dan menganiaya) begini berlarutan," katanya.

Menurut Mat Dan lagi setakat yang diketahuinya Pasar Payang di Kuala Terengganu antara lokasi yang masih banyak menawarkan telur penyu sebagai bahan dagangan.

Leher dikelar, badan dibelah

Pun begitu katanya apabila ditanya asal telur tersebut peniaga terbabit mendakwa ia bukan diambil dari kawasan setempat sebaliknya dibawa dari dari Sabah.

“Tapi saya ragu-ragu akan hal itu kerana nampak telurnya masih segar, justeru tak mustahil jika nak katakan ia seperti diambil dari lokasi berdekatan di sini,” dakwanya.

Terdahulu, Mat Dan atau nama Islamnya, Mohammad Kareef Daniel Abdullah berkongsi sepotong klip video menyayat hati yang dirakam oleh Rani Awang - seorang penyelamat telur penyu yang menjalankan aktiviti sukarelawan - di sekitar Pulau Kapas.

Video itu dirakam bulan lalu tapi baru dikongsikan Mat Dan hari ini. Ia memaparkan bangkai seekor penyu dengan kesan kelaran pada leher serta cengkerang bahagian bawah haiwan tersebut dibelah. Ia dipercayai dibuat untuk mendapatkan telur haiwan berkenaan.

Insiden seperti itu, kata Mat Dan, 31, mungkin antara punca spesies penyu belimbing yang amat sinonim sebagai ikon pelancongan Terengganu tidak lagi memilih kawasan pantai di negeri berkenaan sebagai lokasi pendaratan.

Media sebelum ini melaporkan, berdasarkan rekod pendaratan penyu belimbing ke Terengganu, kali terakhir ia dikesan ialah pada 2017 dengan pendaratan sebelumnya pada 2010.

Selain berazam untuk terus menggunakan media sosialnya sebagai platform meningkatkan kesedaran orang ramai, Mat Dan juga berhasrat untuk mengetengahkan isu penyu kepada pihak berwajib.

Semua orang perlu hidup

Sementara itu, mengulas usaha dilakukan Rani, Mat Dan berkata, dia kagum dengan rakannya itu yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi melindungi penyu.

Menurutnya, jika tiada halangan setiap malam Rani akan keluar dua hingga tiga kali menaiki bot seorang diri untuk mencari lokasi pendaratan penyu.

Apabila menemui lokasi penyu mendarat, kata Mat Dan, Rani akan menunggu sehingga proses itu berakhir dan haiwan itu kembali ke laut sebelum menggali semula pasir untuk mengambil telur berkenaan.

Ia kemudian dibawa ke pusat penetasan.

Namun ada sebab mengapa Rani tekun keluar mencari lokasi penyu bertelur di sekitar pantai pulau tersekut.

"Kalau ada terlepas pandang atau kekangan hingga tak boleh keluar pada malam itu, keesokan hari pasti telur itu dah ghaib sebab ada orang lain ambil," katanya.

Menurut Mat Dan, di sebalik pelbagai kekangan termasuk sekatan pergerakan penuh, rakannya itu sedang berusaha sedaya mungkin untuk melindungi penyu Terengganu.

"Mereka perlukan bantuan kita terutama dengan situasi perintah kawalan berkurung, semua orang perlu berikhtiar untuk hidup.

“Saya harap ada orang sudi menghulurkan bantuan berbentuk kewangan agar Rani boleh meneruskan misi dan usahanya menyelamatkan penyu,” katanya.

Kegiatan Rani boleh diikuti dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram @kapasturtles.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS