Penyanyi era 1990-an, To'ki yang kisahnya tular kerana menginap di sebuah pondok usang bersama isterinya akan menerima kediaman baru, komputer riba selain menerima pembiayaan kos baik pulih kenderaannya yang tersadai di bengkel.
Bantuan tersebut dihulurkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, To’ki dan isterinya iaitu Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, memerlukan sebuah kediaman yang sesuai bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Ketika saya berkunjung, tidak sangka, keadaan tempat tinggal mereka agak 'parah'. Malah, boleh dikatakan agak kritikal.
"Kami bertanya apa keperluan yang dimahukan, namun, To'ki bukanlah suka meminta-minta," katanya dipetik BH Online.
Untuk rekod, Sharifah ditimpa kemalangan yang mengakibatkan tulang pinggulnya patah, baru-baru ini.
To’ki pada zaman kegemilangannya pernah mengungguli carta dengan rangkaian lagu popular seperti Biasan, Seni Berzaman dan Naluri Cinta yang dinyanyikan bersama penyanyi Rohana Jalil.
Lagu Seni Berzaman meraih trofi juara kategori Irama Malaysia pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-8 pada 1993.
Ahmad Shukri berkata, To'ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, sebenarnya memaklumkan dia berat hati untuk berpindah kerana pondok itu menjadi tempatnya mencari ilham dan inspirasi berkarya.
"Pasukan saya akan mencari rumah berdekatan agar To'ki boleh kembali ke pondok pada bila-bila masa untuk berkarya," katanya yang memberi tempoh seminggu bagi mendapatkan rumah baharu untuk To'ki.
Selain itu, Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan turut menyediakan kelengkapan kediaman seperti peti sejuk, meja makan dan mesin basuh untuk pasangan berkenaan.
Bagi memudahkan To'ki untuk berulang-alik ke pondoknya, pihaknya membantu membiayai kos baik pulih kereta penyanyi itu ekoran ketiadaan sumber wang.
"Kereta To'ki tersadai di bengkel kerana tidak ada wang untuk membayar kos pembaikan. Kami berjanji untuk membiayai kos itu bagi memudahkan beliau bergerak," katanya.
Ahmad Shukri berkata, pihaknya menghadiahkan isteri To’ki dengan komputer riba memandangkan wanita itu aktif dalam bidang penulisan kreatif
“Disebabkan isteri To'ki ditimpa kemalangan, kami akan hadiahkan tongkat dan kerusi roda buatnya," katanya.
Sementara itu, nasib To’ki turut mendapat perhatian dan pengunjung penceramah popular, Ustaz Ebit Lew yang kemudian membuat kunjungan.
Melalui catatan di Facebook, Ustaz Ebit berkata, dia tersentuh melihat pondok didiami To'ki terletak jauh di pedalaman.
"Sampai sahaja, saya berdebar kerana rumah To'ki terletak jauh di dalam. Dari jauh To'ki menyambut dan memeluk saya tanpa sempat cakap apa-apa. Kami macam sudah lama kenal.
"To'ki bertanya mengapa Ustaz buat semua ini, buat kebaikan kepada semua orang tanpa mengharapkan balasan," katanya.