Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahkamah keluar waran tangkap buat Sajat
Diterbitkan:  Mar 13, 2020 9:11 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Gara-gara Nur Sajat gagal menghadirkan diri tanpa sebarang alasan untuk prosiding pendakwaan kesnya, Mahkamah Majistret Shah Alam dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik itu.

Harian Metro memetik sumber berkata Nur Sajat tidak hadir semasa pengurusan kesnya semalam.

“Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.

“Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Nor Aini Suzila Zakariah dari Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,” katanya.

Harian Metro pada semalam melaporkan Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman didakwa memiliki untuk tujuan jualan 11 produk yang bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM 25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurut laporan Harian Metro lagi, difahamkan pihak penguatkuasa CPF sebelum ini telah melakukan pemeriksaan di premis milik ahli perniagaan itu di Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos lalu.

Nur Sajat selaku pengarah syarikat berkenaan dan beberapa pekerja di premis itu telah diambil keterangannya oleh pihak CPF, kata laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS