Penyertaan ahli akademik Dr Maszlee Malik dalam BERSATU, seterusnya sebagai calon dalam PRU kali ini, bukan saja mengujakan pemerhati politik tetapi juga golongan selebriti.
Jika sebelum ini bekas pelakon Wardina Safiyyah memberikan pandangannya tentang Maszlee, kali ini giliran pengacara Amin Idris pula untuk berbuat demikian.
Amin berkata mula mengenali Maszlee sejak dia menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1999 dan menyifatkan ketokohan bekas pensyarah itu sememangnya tidak dapat disangkal.
"Tanpa mengira soal parti politik, saya mesti akui tentang kualitinya. Dia adalah antara individu terbaik pernah saya kenal.
"(Dia seorang) intelek, rendah diri, amanah dalam setiap kerjanya dan juga sempoi," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Semakan mendapati hantaran itu telah tiada di laman Facebooknya, dan Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksinya tentang perkara ini.
Maszlee (gambar) akan bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor pada PRU ke-14. Pada PRU lalu, Setiausaha Agung Parti Gerakan Datuk Liang Teck Meng mengalahkan Suhaizan Kaiat (dahulunya PAS) dengan majoriti 5,706 undi.
Selain menjadi pensyarah, beliau terlibat dengan Pertubuhan Ikram Malaysia dan aktif menulis buku berkaitan Islam dan politik.
Hantaran itu turut diiringi rakaman video yang mengulas lebih lanjut diri Maszlee di mata personaliti yang sering muncul di saluran TV Alhijrah dan Astro Oasis itu.
"Dia bukan hanya bercakap tentang PRU akan datang tetapi untuk generasi akan datang. Saya yakin amat rugi jika rakyat tidak memanfaatkan batang tubuhnya sebagai pemimpin.
'Orang baik perlu menang'
"Saya doakan yang terbaik untuk Maszlee, dan rakyat Malaysia pilihlah yang terbaik," katanya lagi.
Beliau bagaimanapun menegaskan kenyataan itu tidak mencerminkan beliau memihak kepada mana-mana parti pada PRU ini dan berkata setiap pengundi berhak memilih pihak yang disokongnya.
Pada minggu lalu, Wardina memuji Maszlee sebagai seorang yang beretika dan telah lama terlibat dalam kerja amal.
"Orang baik-baik perlu menang. Saya kenal keluarganya - keluarga yang hebat dan Islamik...Calon beginilah yang harus menjadi sandaran kita untuk Malaysia yang lebih baik.
"Semoga Allah memberi kemenangan buatnya. Buat pengundi Simpang Renggam, anda mempunyai permata di tangan anda," katanya dalam hantaran di Facebook 19 April lalu.