Chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menceritakan kisahnya didatangi pemimpin politik Umno dan juga pembangkang yang memintanya membantu kempen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Sangat lucu, siapalah punya kerja ini. Dah nak pilihan raya esok entah apa lagi yang pelik akan keluar," katanya di instagram ketika mengongsikan gambar baju yang tertera 'all I want for Christmas is a new prime minister' (permintaan saya pada Krismas kali ini adalah perdana menteri baru).
"Oh ya, saya telah didekati oleh kedua-dua pihak iaitu Umno dan pembangkang untuk bersama dalam kempen mereka, kononnya satu kampung nanti datang tengok Chef Wan," katanya.
Bagaimanapun, dia menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu dipergunakan oleh mana-mana parti politik.
"Saya cakap, siapalah saya ini hanya tukang masak bukan artis pun. Jika nak bertanding jadi perdana menteri tak apa juga.
"Ini setakat nak mempergunakan saya semasa pilihan raya, tak payahlah," katanya lagi sambil memetik pepatah Melayu 'gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah'.
Nanti semua minta maaf pada Dr M
Katanya lagi, dia risau apabila melihat "permainan kotor" dalam politik di mana seseorang yang disanjung golongan tertentu boleh dibenci oleh golongan sama sekelip mata.
"Tengok sahaja macam Tun Dr Mahathir Mohamad, apa yang mereka tak kata kat dia?
"Esok bila 'orang tua' itu sudah meninggal, mereka semua akan mohon maaf dan berikan penghormatan terakhir. Tetapi sudah terlambat.
"Tentulah masing-masing ada perbezaan politik tetapi mengapa terlalu kuat dengan kebencian dan dendam?" soalnya lagi.
Justeru, dia yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Seni Kulinari oleh universiti Utara Malaysia (UUM) November lalu berkata memang tidak berminat dengan politik, tetapi hanya mahu melakukan kebaikan.
"Tak kuasa nak main drama minggu ini...Menjadi jujur dan buat perkara yang betul sudah cukup untuk saya."
Menteri datang dan pergi
Chef Wan turut menceritakan kisah seorang bekas menteri yang ketika memegang jawatan itu menunjukkan sikap "berlagak dan sombong".
Selepas tidak berjawatan, katanya lagi, individu tersebut ketika ditemuinya di beberapa acara tidak lagi disapa sesiapa.
"Pergi majlis terkebil-kebil duduk di satu sudut, siapa pun tak layan...Allah bayar cash," katanya lagi.
walapun tidak berminat dengan politik, Chef Wan tetap menggesa rakyat Malaysia agar keluar mengundi pada PRU akan datang.
"Jalani hak itu dengan bijak. Tiada siapa dapat merebut hak itu daripada kita," katanya lagi.