ADS
mk-logo
Kolum
KOLUM | Dari Tebedu, Kalimantan ke Golok di Segenting Kra

Usia baru dua puluh tahun, Bongkok masih mentah serba-serbi. Dua bulan setelah tamat latihan di Biro Pencegahan Rasuah (BPR), dia jatuh motosikal ketika bertugas di Cawangan Intip. Bongkok sedang memburu-intai sasaran, memastikan agar yang diperhati itu tidak terlepas dari pandangan apabila tiba-tiba dilanggar dari belakang, lantas terhempas di atas jalanraya lalu patah riuk.

Sebaik kembali bertugas setelah lebih enam bulan, berulang lagi dia berpanas berhujan kering, basah berhujan berpanas semula di atas motosikal. Dan tugasnya masih sama; mengintip.

“Tak serik?”

“Jiwa saya memang di lapangan Bang. Jadi, kalau saya ditempatkan di pejabat saja pastinya terdera.” Bongkok menggoncang-goncang ketul ais kian mencair dalam Keto Black dengan mentega Perancis.

ADS

Memang ada banyak kerja intip yang Bongkok telah lakukan. Tidak terkira pengalamannya setelah menghampiri dua dekad. Dan kaki intip memang nalurinya mengintip.

Sebaik tamat latihan, mereka dua belas orang dibawa naik sebuah van dalam keadaan mata bertutup dan ditempatkan di pelbagai ‘rumah selamat’ yang beroperasi di bawah SPRM.

Dua belas ’budak hitam’ untuk pelbagai projek rahsia SPRM.

“Tatkala ‘diculik’ pertama kali itu, kami tidak tahu hendak dibawa ke mana Bang. Tapi yang pastinya bukanlah ke Ibu Pejabat. Kami malah tidak bertemu lagi kawan-kawan selatihan dahulu. Hilang terus. Kiranya kami terus digelapkan sebagai petugas rahsia, tentu untuk kerja-kerja rahsia juga.”

ADS

Saya memasang telinga, menghisap Lychee Strawberry Cooler, kemudian terfikir secara rambang, “Bagaimana pihak atasan tahu yang kamu layak untuk kerja begini? Dan bukannya di kerja perisikan, penyiasatan atau kerja di ofis?”

Bongkok tanpa melengah menyahut, “Kiranya bakat kami ini dikesani ketika latihan. Mungkin pihak atasan telah melihat kami sesuai atau cocok dengan kerja semacam ini.”

Saya lebih menyedut minuman berais tersebut. ZUS kembali sesak selepas terawih, tanda anak muda siaga untuk menikmati moreh. Ada yang malah terkinja di hadapan kaunter memperaga diri di platform TikTok secara live.

Sesekali kami agak terganggu dengan riuh dan suara bertingkah pelanggan, tetapi kemudian lekas tenggelam semula dalam perbualan.

Saya mengerling paparan di telefon bimbit. Ada notifikasi masuk perihal seorang politikus ternama kini sebagai suspek kes korupsi. Politikus itu tiba- tiba jatuh uzur. Maka spontan saya bertanya, “Ada intip orang politik?”

Bongkok tertawa, keningnya terangkat, “Ada. Dan saya dikejar pula oleh penyokongnya. Nasib baik tak dibelasah.”

Saya mengesipkan mata tanda mahu tahu lanjut.

“Ketika itu musim Pilihan Raya. PRU. Saya ditugaskan membuat pemantauan. Dan kami mengekori Dato S yang sedang berkempen.”

ADS

“S? Huh. Dato S ada buat apa?”

“Ya, kita memantau kalau-kalau ada pergerakannya yang mencurigakan.

Musim beginilah banyak berlaku tawar-menawar bukan?”

Saya angguk. Terbayang entah mengapa jongkong emas, kepul mata wang asing, jam tangan mewah dan entah apa lagi yang sukar diduga oleh kita orang biasa.

“Saya pinjam Kancil milik ibu saya waktu itu.”

Saya membayangkan Bongkok yang tinggi terjongkok memandu di dalam Kancil genit, “Laa kenapa?”

“Ya supaya tidak dikenali atau dicam. Kalau plat kereta luar nanti ketahuan pula. Jadi saya guna kereta ibu.”

Saya menyedari satu waktu dahulu plat kereta harus didaftar di negeri berkenaan. Apa yang terjadi mungkin sedikit lucu, tetapi juga jika dikenang hari ini, dapat dihujah agak mencemaskan.

Bongkok sedang mengekori pasukan Dato S berkempen dari sebuah kampung ke kampung lainnya. Bergerak di antara mukim, rombongan Dato S tidak semena telah dilecut batu oleh anak nakal. Atau barangkali oleh sang dewasa yang berdendam. Dato S marah. Dia rasa dirinya tidak pantas diherdik atau dilayan sekasar itu. Dan dek kerana petugas kempen Dato S menyedari ada Kancil sejak tadi tidak lepas-lepas mengikut, Bongkok kini spontan disyaki sebagai anggota pembangkang yang ingin membuat onar.

Akibatnya Kancil yang dipandu Bongkok itu pula menjadi sasaran lantas dikejar beramai-ramai oleh gerombolan motorsikal, dan untuk ‘menyelamatkan diri’ dia langsung memandu laju ke dalam kawasan balai polis lantas menghubungi orang atasannya. Mat Rempit upahan Dato S beramai-ramai ikut mengekori lagak samseng berlesen.

Di bulan Ramadan, salah satu pengalaman Bongkok yang masih hidup dalam kotak benak tentulah mengacah babi sekandang. Insiden itu terjadi jauh di Tebedu.

Saya cuba membayangkan letak duduk Tebedu, pekan kecil yang menjadi jalan darat utama di Sarawak untuk merentasi sempadan Malaysia ke Indonesia. Saya mengkhayalkan pekan kecil yang penghuninya saling mengenali, menjadikan penyamaran Bongkok tidak semudah disangka.

“Cari apa di Tebedu?”

“Kami menyorot, mengintai dan mencari bukti penyeludup barangan subsidi.

Gas, gula, diesel. Kami juga mengintip anggota sebuah unit pencegahan yang menerima sogokan. Fikirlah, bagaimana barang subsidi khusus untuk rakyat Malaysia boleh mudah-mudah keluar?”

Menurut Bongkok dia bertugas di Tebedu kira-kira dua minggu. Separuh Ramadan itu dia di rantau orang. Payah juga dia hendak menerangkan kepada anak-anak yang belum begitu memahami apakah resmi kerja ayah mereka.

“Nasib baik ada episod Upin dan Ipin yang menyorot perihal rasuah, pembasmiannya dan kerja-kerja SPRM. Maka saya gunakan itu untuk memahamkan mereka. Maklumlah, lama berenggang dengan keluarga tentu anak-anak pun tertanya-tanya.”

Untuk mengintip penyeludup dan pihak berkuasa khianat tersebut Bongkok dan beberapa rakan sekerja perlu berkhemah di puncak bukit agar dapat meneropong, merakam video dan mengambil gambar penjenayah yang sedang memunggah di stor yang terletak kita-kira satu kilometer dari sempadan.

Puncak bukit itu memang kalau dilukis serasa indah dengan udara nyaman bertiup. Pun hakikatnya ia adalah ilalang panjang, semak meremangkan tengkuk, bunyi-bunyi aneh yang menerpa untuk hati yang belum tentu kuat, desir angin yang misterius. Tidak ada bangsal teduh, yang ada cuma kawasan sebuntut dua besarnya yang ditebas dirata.

Di bawah lembah, lori penyeludupan bergerak secara sembunyi di dalam belukar.

Aktiviti yang penuh curiga. Dan sesekali ada suara dengan dialog yang kurang berbekas. Ia memang satu suasana yang menggeruhkan jiwa lemah.

Dua minggu di Tebedu, Bongkok tiba di sempadan seraya berusaha memahami suasana yang ada. Agar tidak dikenal khususnya oleh pihak pencegahan yang khianat itu, Bongkok dan temannya menyamar sebagai pekerja kontrak sebuah sekolah yang sedang direnovasi dan dalam pembikinan blok tambahan.

Dia berulang alik menempuh pondok kawalan agensi penguat kuasa di perbatasan tanpa disedari.

Sebelumnya, selama tiga hari mereka juga terpaksa meneroka satu denai rahsia. Mereka menebas semak, menggilis onak duri, dan dalam gelap berperang dengan nyamuk, kerengga dan ular. Denai itu penting. Ia adalah sebuah laluan yang dapat membawa mereka ke puncak bukit tersebut tanpa perlu bertembung dengan orang kampung yang kehairanan atau pihak berkuasa khianat yang sedang dimata-matai.

“Kami masuk sebelum subuh untuk menebas semak samun. Tak boleh menunggu hari siang. Macam-macam haiwan liar kami temui saat mentari belum naik. Dan waktu itulah kami bertembung dengan babi sekandang.”

“Khinzir liar?”

Ungu ketawa, dan gelaknya menyatu dengan riuh pelanggan ZUS sesudah moreh. “Ada tuannya. Babi sekandang. Tak tahu kenapa diternak sembunyi- sembunyi begitu.”

Setiap hari selama dua minggu, di kala bulan puasa, mereka mendaki puncak bukit berbekal roti dua bungkus dan air mineral dua botol. Di atas itulah mereka melihat dengan hati sakit bagaimana hasil mahsul negara digelidah orang tidak bertanggungjawab.

“Ada yang selamba menanggung tong gas melenggang melintas perbatasan.

Memang ada orang hujahkan di kawasan seperti Teluk Melano ini adalah perkara biasa, persis di Golok sana…tetapi untuk kami, ia bukan kerja sia-sia.

Malah kita boleh persoalkan ketika itu, apakah yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang ada. Untuk melintas sempadan kita perlu menempuh lapan agensi. Inilah kemusykilan kita. Apa yang mereka buat? Atau memang ada ’konsortium besar’ sesama mereka untuk menerima sepuluh dua puluh ringgit sekali seberang?”

Kerja susah di atas bukan pengakhiran buat Bongkok. Beberapa tahun kemudian dia sekali lagi bertugas di sempadan. Kali ini di Rantau Panjang- Golok. Dan anehnya, sekali lagi ia terjadi di bulan suci.

Pengalaman di sempadan Thailand kali ini lebih menggetar. Mereka semua nyaris terkapar dimakan senapang tentera negara jiran ekoran salah pengertian.

Ceritanya begini, di tahun 2019; Bongkok dan pasukan berempat menyorot laluan air yang digunakan penguat kuasa tempatan untuk menerima sogokan daripada penyeludup. Operasi mereka adalah mensasarkan seorang Penguatkuasa Besar Negeri.

Bongkok selaku penyiasat projek perlu melihat sendiri keadaan di jeti, maka mereka mengupah orang tempatan sebagai ‘tukang tunjuk’ dengan bot dari Pengkalan Kubor. Tujuan bot ke Bang Nara Golok, tanpa perlu menyeberang sempadan.

Siap mereka memfoto jeti dan sebagainya, muncul bot pihak Kastam negara jiran. Tidak lama kemudian diikuti oleh bot tentera Thailand, lengkap dengan senapang. Wajah tentera itu garang, tidak ada tolak ansur.

“Pihak tentera minta kastam Thai beredar. Mereka akan mengambil alih. Rupanya beberapa lama sebelum ini terdapat letupan bom di pos tentera yang dilakukan oleh kumpulan pemisah. Maka tentera Thai wajar untuk ragu. Kami disergah dengan mesingan. Diikat dan dipaksa menanggalkan pakaian. Segala usaha untuk menjelaskan seperti ayam dan itik.”

Ketika itu dalam bayangan Ungu ada macam-macam. Dia membayangkan keadaan penjara Thailand yang tersohor menggerunkan itu. Dia membayangkan sulitnya pihak berkuasa Malaysia membebaskan mereka. Dia membayangkan anak isteri di rumah. Pakaian mereka berserta semua barangan disuruh tinggal di bot. Mereka digiring ke pos tentera. Askar-askar Thailand itu semuanya bertubuh kekar, dan terlihat bengis. Serba-serbi menjadi dunia asing. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan Ungu.

Lebih Ungu bertutur bahasa Inggeris dan Melayu, lebih pihak tentera itu bertutur dalam bahasa Thai. Segalanya menjadi buntu. Telefon bimbit mereka juga dirampas.

“Mujur setelah beberapa lama, salah seorang dari kami menyedari ada membawa sama lencana penguatkuasa. Itu pun pada mulanya tentera Thai tidak memahami. Berhempas pulas kami terpaksa menerangkan yang kami adalah dari sebuah badan dari Malaysia persis NACC di Thailand (National Anti-Corruption Commission). Sebaik sahaja mereka faham, spontan tentera Thai itu bertutur dalam bahasa Melayu dialek Patani.”

Ungu sedar, ketika dalam kekalutan tersebut sekiranya satu kesilapan kecil berlaku, atau gopoh-gapah antara mereka; tidak mustahil keadaan menjadi nanar. Di situlah dia mempelajari aspek ketenangan dan berterima kasih dengan latihan yang pernah diterima.

“Sejak hari itu kami menjadi kawan dengan tentera di sempadan, dan mereka membantu kami.” Ungu menutup cerita.

Saya masih ingat pada tahun 2019 itu terdapat penahanan berkait kes pembalakan, perlombongan haram dan penyeludupan yang menjadi fokus SPRM.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, jam terlilit di pergelangan tangan menunjukkan pukul 1.30 pagi.

Saya teringat kembali kata-kata Ungu, “Terima kasih bang kerana sudi jadikan kami projek sastera lisan abang. Kerja saya tidak diketahui orang. Sembunyi-sembunyi. Dan kami tak perlukan kemasyhuran atas apa yang kami lakukan. Pun, kami berharap orang seperti abang akan memanjangkan pengalaman-pengalaman kami untuk negara ini.”

Negara boleh menjadi lebih baik tanpa rasuah. Tanpa pemimpin korup. Tanpa penjawat awam kotor. Tanpa penguatkuasaan yang kuat negara bleh tergelincir jatuh ke lembah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS