ADS
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pilihan raya presiden AS di sepanjang zaman

Pilihan raya presiden Amerika Syarikat ke-60 yang menyaksikan persaingan Kamala Harris dengan Donald Trump telah berlangsung semalam dengan keputusan tidak rasmi menunjukkan Donald Trump kembali sebagai presiden.

Persaingan kali ini adalah sengit. Amerika terbahagi dua di tengah-tengah.

Saya mula tahu mengenai pilihan raya presiden Amerika  pada tahun 1972. Ketika itu saya berada di tingkatan satu. Calon yang bertanding ialah Richard Nixon dari Parti Republikan dan George McGovern dari Parti Demokrat. Kebanyakan maklumat yang saya terima adalah dari majalah mingguan Amerika iaitu Time dan Newsweek. Majalah ini tebal dan penuh dengan berita, rencana, analisis, foto dan kartun politik. Saya membacanya di perpustakaan sekolah. Nixon menang dan menjadi presiden Amerika pertama yang mempengaruhi pemahaman saya mengenai geopolitik dunia. 

Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1976, pertandingan adalah antara Jimmy Carter dari Parti Demokrat dan Gerald Ford dari Parti Republikan yang mempertahankan jawatannya. Ford menggantikan Nixon apabila dia dipecat ekoran skandal Watergate.

ADS

Pada tahun 1976, saya berada di tingkatan lima dan menjadi ahli perpustakaan Pusat Kebudayaan Lincoln, sebuah agensi kebudayaan di bawah Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Jimmy Carter ketika menjadi presiden

Pada hari pengundian, pusat ini mengadakan pameran dan acara untuk memperkenalkan sistem demokrasi mereka kepada orang ramai. Selain sesi penerangan, ada acara untuk mengikuti pengiraan dan pengumuman keputusan secara langsung pilihan raya dari Washington.

Saya pun hadir dalam acara ini yang diadakan di sebuah dewan kecil bersebelahan perpustakaan itu. Ia terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat di simpang Jalan Ampang dengan Jalan Tun Razak. Pada hari berkenaan, bangunan itu dihias dengan bendera-bendera Amerika dan gambar calon presiden. Pilihan raya itu memberi kemenangan kepada Carter.

Pilihan raya presiden berikutnya ialah pada tahun 1980 dengan Ronald Reagan mencabar Presiden Carter. Pada masa itu, saya sedang menuntut di universiti. Suasana di kampus ketika itu memperlihatkan sebahagian pelajar termasuk saya sedang bersemangat berjuang kerana Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang berjaya menghalau Amerika dari negara itu.

ADS

Para pelajar radikal Iran telah menduduki kedutaan Amerika di Tehran dan menjadikan kakitangan di situ sebagai tebusan. Mereka menggunakan tebusan itu sebagai cara untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya presiden. Tebusan-tebusan itu dibebaskan pada hari selepas pilihan raya itu.

Carter kalah pada Reagan. Dia dilihat oleh para pengundi sebagai presiden yang lemah dan gagal menghadapi Revolusi Iran. 

Ronald Reagan bersama Dr Mahathir

Dalam pilihan raya presiden berikutnya, iaitu pada tahun 1984, Presiden Reagan dicabar oleh calon Parti Demokrat, Walter Mondale. Pada masa itu saya sudah bekerja sebagai wartawan. Reagan amat popular. Tetapi dari segi politik kepartian Amerika, saya lebih cenderung kepada Parti Demokrat kerana ia berfahaman liberal berbanding Parti Republikan yang konservatif. 

Namun begitu saya faham bahawa dalam soal dasar luar terutama mengenai isu Palestin, tidak kiralah sama Parti Demokrat atau Parti Republikan, kedua-duanya tunduk pada lobi Yahudi dan akan sentiasa nenyokong pihak Israel. Pada pilihan raya itu Reagan mempertahankan jawatan presidennya 

Dalam pilihan raya presiden tahun 1988, George HW Bush menjadi calon Parti Republikan  dan Michael Dukakis pula merupakan calon Parti Demokrat. Ketika itu saya menerbitkan sebuah majalah bulanan kecil bernama Dunia Islam. Tumpuan majalah itu adalah isu-isu antarabangsa berhubung dengan isu-isu yang berkaitan dengan negara-negara Islam.

Pendirian majalah itu ialah mendukung gerakan Islam, kumpulan-kumpulan Islam dan parti Islam di seluruh dunia. Maka sudah tentu majalah ini menyokong perjuangan Palestin khususnya Hamas dan Hezbollah di Lubnan. Untuk itu, asas majalah itu adalah menyokong Revolusi Islam Iran dan Republik Islam Iran. Maka dengan sendirinya, majalah itu bersikap anti-Amerika dan sekutu-sekutunya di Eropah.

Dalam pilihan raya itu, Bush meneruskan legasi Reagan apabila dapat mengalahkan Dukakis. Saya berkesempatan berjumpa dengan Dukakis di Boston pada tahun 2004 bersama beberapa wartawan Asia lain dalam satu program anjuran East-West Center.

Dalam pilihan raya presiden tahun 1992 pula, calon Parti Demokrat Bill Clinton mengalahkan Presiden George HW Bush. Pada masa itu, saya adalah editor kumpulan bagi akhbar mingguan Harakah dan majalah Dunia Islam. Selain menulis rencana pengarang di Harakah saya juga menulis kolum mengenai isu-isu antarabangsa di akhbar itu dan juga majalah Dunia Islam. Maka antara isu yang saya tulis adalah mengenai politik Amerika khususnya pilihan raya presiden.

ADS

Semasa pilihan raya presiden tahun 1996 pula, Clinton dapat mempertahankan jawatannya dengan mengalahkan Bob Dole dari Parti Republikan. Pada masa itu, saya adalah seorang editor buku di sebuah penerbit buku. Selain itu, saya juga menjadi penulis kolum tetap secara mingguan yang bernama Pentas Dunia dalam akhbar Utusan Malaysia dan juga majalah berita mingguan Massa dan majalah bulanan Al-Islam. Kesemuanya adalah mengenai hal ehwal antarabangsa. Antara ulasan saya adalah mengenai pilihan raya presiden Amerika. 

Pada tahun 2000, George W Bush, anak presiden George HW Bush dari parti Republikan bertanding melawan Al Gore, Naib Presiden kepada Clinton. Ketika saya sudah kembali pada akhbar Utusan Malaysia dan menjadi editor rencana.

Al Gore ada datang ke Malaysia dan memberikan ucapan yang menunjukkan kerajaan Amerika menyokong gerakan Reformasi di negara ini. Maknanya, Amerika menyebelahi Anwar Ibrahim dalam pelawanannya menentang Mahathir Mohamad.

Apabila Al Gore kalah pada Bush dalam pilihan raya itu, banyak penyokong-penyokong Mahathir menyatakan kegembiraannya.

Bagi pilihan raya presiden tahun 2004, saya berada di Amerika untuk menyaksikannya. Ketika itu Bush dicabar oleh John Kerry, calon Parti Demokrat. Bersama beberapa wartawan Asia lain, saya pergi ke Honolulu, Washington, Austin, Boston dan Los Angeles. 

George W Bush

Semasa pengumuman keputusan pilihan raya itu, saya ditugaskan menghadiri perhimpunan utama Parti Republikan bagi California di Los Angeles. Penyokong-penyokong bersorak gembira apabila diumumkan Bush berjaya mengalahkan Kerry.

Pilihan raya presiden seterusnya berlangsung pada tahun 2008. Calon Parti Demokrat, Barack Obama melawan calon Republikan, John McCain. Ketika itu saya mengetuai syarikat menerbit majalah yang merupakan anak syarikat Utusan. Obama menang dan ia merupakan kemenangan bersejarah kerana dia dianggap presiden kulit hitam.

Obama terus dapat mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya seterusnya pada tahun 2012, dengan mengalahkan calon Parti Republikan, Mitt Romney. Pada masa iyu saya adalah editor akhbar Mingguan Malaysia.

Ketika pilihan raya presiden tahun 2016, saya sudah bersara. Namun begitu setiap minggu saya tulis mengenai isu-isu antarabangsa dalam akhbar Mingguan Malaysia dan majalah Al-Islam.

Perlawanannya adalah Donald Trump dari Parti Republikan dan Hillary Clinton dari Parti Demokrat. Trump adalah tokoh menarik perhatian kerana dia bukan dari elit politik tetapi dari kalangan korporat.

Saya mula tahu mengenai Trump pada tahun 1986. Saya beli bukunya bertajuk Trump, the Art of Deal dari kedai buku Times di pusat membeli belah Sinar Kota. Dalam buku itu dia menunjuk ajar bagaimana hendak berjaya dalam perniagaan melalui rundingan tawar menawar. Dia adalah ahli perniagaan yang berjaya tetapi tidak berpengalaman langsung mengenai hal ehwal antarabangsa, khususnya geopolitik.

Dengan pandangannya yang berbentuk perkauman dan etika tidak progresif, bagi saya Clinton yang sebelum itu adalah Setiausaha Negara semasa kepresidenan Obama lebih sesuai untuk menjadi presiden.

Ketika keputusan pilihan raya diumumkan, saya sedang memandu di Cyberjaya. Saya terkejut banyak pengundi Amerika menyokong Trump walaupun dia jelas mempunyai pandangan yang berbentuk perkauman dan beretika tidak progresif. Kemenangan Trimp itu menunjukkan ada kecenderungan dunia untuk memilih aliran kanan.

Pada pilihan raya berikutnya iaitu pada tahun 2020, Parti Demokrat menawarkan bekas Naib Presiden Joe Biden untuk melawan Trump. Pada masa itu dunia sedang menghadapi wabak Covid-19 dan saya pula sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Joe Biden

Biden menang tipis dan penyokong-penyokong Trump menolak keputusan dan menyerbu White House. Menjelang acara angkat sumpah Biden pada Januari 2021, Nuha Books meminta saya menulis rencana untuk buku yang diberi tajuk Warkah Untuk Pak Biden, coretan 30 rakyat Malaysia bagi meraikan Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat ke-46. 

Rencana saya bertajuk “Tiga permintaan untuk Pak Biden.” Ketiga-tiga permintaan itu pasti tidak sampai ke telinga Biden dan ia juga tidak akan dilaksanakan oleh mana-mana presiden Amerika.

Sekelip mata saja empat tahun berlalu. Kini Trump sekali lagi masuk gelanggang yang pada mulanya hendak melawan Biden. Parti Demokrat bagaimanapun menarik Biden kerana faktor usia dan menampilkan Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon mereka.

Persaingan Trump dan Harris adalah sengit tetapi sesiapa pun yang menang, ia tidak akan mengubah banyak keadaan Amerika dan dunia. Perubahan-perubahan yang akan berlaku hanya merupakan reaksi dan respons kepada masalah ketika waktu berkenaan. Dari tahun 1972 hingga 2024, pilihan raya presiden tidak menunjukkan berlaku perubahan mendadak yang boleh memberi harapan kepada rakyat Amerika dan penduduk dunia. Ini kerana semua berlaku dalam kerangka sama sejak Perang Dunia Kedua.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS