Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Bendera – lembaran kain menyentuh emosi

Kajian mengenai bendera dipanggil vexillologi. Vexillum adalah perkataan Latin yang bermaksud layar kecil atau kain kecil yang digunakan oleh pasukan-pasukan tentera Rom sebagai panji-panji.

Di peringkat antarabangsa, peminat-peminat bendera berkumpul dalam The International Federation of Vexillological Associations yang dianggotai 53 pertubuhan dari seluruh dunia.  Antara anggotanya ialah Pusat Penyelidikan Vexillologi China yang menyertainya pada tahun 2019 dan Persatuan Vexillologi Singapura yang menjadi ahli pada tahun 2022. Tidak ada anggota dari Malaysia.

Bendera Republik Rakyat China (PRC)  berwarna merah dengan satu bintang besar kuning di penjuru atas sebelah kiri dan lima bintang kecil berhadapan dengannya. Warna merah itu melambangkan Revolusi Komunis  pada tahun 1949 yang membawa kepada penubuhan republik itu. Lima bintang kecil  melambangkan perpaduan rakyat bawah kepimpinan Parti Komunis China (CCP). 

Bintang besar itu melambangkan CCP  dengan empat bintang kecil mewakili empat kelas masyarakat  iaitu pekerja,  petani, borjuis kecil dan borjuis nasional. Borjuis merupakan konsep komunis untuk merujuk kepada kelas kapitalis iaitu mereka yang memiliki kebanyakan harta dalam masyarakat dan alat pengeluaran. Ia terbahagi pada dua kelas iaitu borjuis nasional dan borjuis kecil. Borjuis nasional adalah kelas kapitalis yang turut serta mempertahankan  negara dan menolak penjajahan. Sementara borjuis kecil terdiri daripada ahli-ahli perniagaan kecil termasuk usahawan dan pembuat barangan secara sederhana.

Menurut Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu wawancara, ketika pulau itu  diberikan pemerintahan sendiri pada tahun 1959, penduduk majoriti yang terdiri daripada kaum  Cina mahukan bendera seperti negara China iaitu berwarna merah dan lima bintang. Sementara orang Melayu yang merupakan kaum minoriti mahukan supaya perlu ada bulan sabit bagi melambangkan agama Islam.

Maka akhirnya bendera Singapura menggabungkan kehendak kedua-dua kaum itu dengan meletakkan bulan sabit dan lima bintang yang disusun secara bulatan di depannya. Namun begitu, tafsiran rasmi adalah berbeza. Bulan sabit itu bukan melambangkan agama Islam tetapi merupakan simbol Singapura sebagai negara muda yang sedang muncul dan meningkat naik. Sementara lima bintang itu tiada kaitan dengan bendera China tetapi melambangkan demokrasi, perdamaian, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan.

Jawatankuasa mereka bentuk bendera Singapura diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri pertamanya, Toh Chin Chye. Menurutnya, cadangan pertama adalah bendera merah dengan tiga bintang bagi melambangkan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan.

Sabit dan tukul kuning

Tetapi kabinet menolaknya kerana bendera seumpama itu adalah sama seperti bendera Parti Komunis Malaya (PKM). Pada tahun 1959, Darurat masih berlangsung. Bagi PKM, Malaya bukan saja Tanah Melayu tetapi meliputi Singapura. Bendera PKM berwarna merah dengan lambang sabit dan tukul berwarna kuning, iaitu logo tradisi komunis mewakili golongan pekerja dan petani. Namun begitu semasa pendudukan Jepun di Malaya dan Singapura, PKM menubuhkan Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun (MPAJA) yang mempunyai bendera merah dan tiga bintang kuning di sudut atas kanan. Sebab itu kumpulan ini dikenali sebagai Bintang Tiga. Ia melambangkan tiga kaum utama di Malaya iaitu Melayu, Cina dan India.

Untuk membezakan bendera Singapura dengan bendera Bintang Tiga, maka ditambah dua bintang lagi, menjadikannya lima. Tetapi adanya lima bintang itu pula menjadikannya hampir sama dengan bendera China. Maka dicadangkan supaya diletakkan lambang bulan sabit untuk mengatakan kepada orang Melayu di Singapura bahawa pulau itu bukanlah “sebuah negara China “ Untuk membezakan lagi dengan bendera China, maka kabinet mencadangkan supaya bendera itu berwarna merah dan putih yang merupakan warna tradisi Nusantara.  Toh menolak warna merah putih itu kerana ia seumpama bendera Indonesia.

Bendera Singapura

Namun kabinet mahukan warna merah putih itu. Saya percaya ia lebih merupakan kehendak Lee Kuan Yew yang mahukan supaya Singapura mempunyai identiti sebagai negara yang berada di tengah-tengah kepulauan Nusantara. Selain itu, beliau juga ketika itu, iaitu pada tahun 1959 sedang memperjuangkan supaya Singapura disatukan dengan Malaya. 

Secara rasmi, merah putih pada bendera Singapura bermaksud merah sebagai “persaudaraan dan kesaksamaan sejagat” dan putih melambangkan “kemurnian dan kebaikan yang meluas dan berpanjangan.”

Sebelum itu, pernah dicadangkan suatu bendera yang juga berlatarkan merah putih  untuk Malaya. Ia berlaku pada tahun 1947 melalui Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh Putera-AMCJA. Bendera kebangsaan Malaya merdeka yang dicadangkan ialah merah putih dengan 12 bintang putih yang disusun empat segi di bahagian penjuru atas kiri. Bintang-bintang itu mewakili setiap negeri di Tanah Melayu dan juga Singapura. Cadangan Perlembagaan Rakyat itu adalah gabungan Tanah Melayu dengan Singapura.

Bendera Rakyat

Putera adalah Pusat Tenaga Rakyat yang merupakan gabungan parti-parti kiri Melayu yang diketuai oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan AMCJA ialah Majlis Bersama Tindakan Seluruh Malaya yang menggabungkan pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu, paling utama ialah Kesatuan Demokratik Malaya (MDU). 

PKMM yang ditubuhkan pada 17 Oktober tahun 1945 menggunakan bendera merah putih. Indonesia yang mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 17 Ogos 1945  mengibarkan bendera merah putih yang dinamakan Sang Saka iaitu bendera pusaka 

Sang Saka pertama kali dikibarkan pada tahun 1928 sebagai bendera perjuangan kemerdekaan Indonesia. Dengan serta-merta penjajah Belanda menurunkannya dan mengharamkan pengibarannya.

Parti politik pertama Melayu

Pertubuhan parti politik pertama Melayu, Kesatuan Melayu Muda (KMM)  ditubuhkan pada tahun 1937. Ia juga menggunakan merah putih sebagai benderanya. Kedua-dua KMM dan PKMM memperjuangkan gabungan Tanah Melayu dengan Indonesia.

Pada awalnya, PKMM turut menganggotai Umno untuk menentang Malayan Union. Umno yang ditubuhkan pada tahun 1946 mengambil juga merah putih sebagai benderanya tetapi dengan bulatan kuning di tengahnya serta gambar keris hijau di atasnya. Kuning melambangkan raja-raja Melayu. Keris melambangkan kekuasaan bangsa Melayu. Hijau melambangkan agama Islam.

Wakil PKMM iaitu Ahmad Boestamam membantah bendera itu. Mereka mahukan bendera merah putih tanpa bulatan kuning dan keris hijau itu. Secara dasar, PKMM tidak cenderung pada institusi raja. Akibat bantahan mereka tidak dihiraukan, PKMM bertindak keluar dari Umno.

Ahnad Boestamam adalah juga pengasas dan pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API)  yang juga mempunyai bendera merah putih tetapi dengan gambar obor hitam di tengah-tengah. Pada tahun 1948, API menjadi pertubuhan pertama diharamkan oleh pentadbiran British dan Ahmad Boestamam ditahan.

Pada tahun 1951, PAS ditubuhkan dengan mengambil bulan sabit dan bintang sebagai lambang mereka. Tetapi bendera mereka ialah merah putih dengan bulan penuh berwarna hijau di penjuru kiri atas.

Apabila Ahmad Boestamam dibebaskan, beliau menubuhkan Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955. Beliau mengambil bendera merah putih juga dengan simbol kepala kerbau hutan atau banteng berwarna hitam yang diletakkan di tengah-tengah sebagai melambangkan golongan marhaen. Apa yang dikatakan marhaen adalah golongan petani yang tidak mempunyai tanah atau memiliki tanah kecil. Mereka ini bekerja sendiri.

Pada waktu sama Parti Rakyat Singapura dan Parti Rakyat Brunei ditubuhkan. Kedua-duanya mempunyai fahaman politik sama dengan PRM. Mereka juga mempunyai bendera sama dengan PRM.

Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, Ketua Umno  Melaka, Ghafar Baba ditugaskan oleh Tunku Abdul Rahman mengetuai jawatankuasa untuk melukis bendera Melaka. 

“Warna biru yang ada pada bendera Melaka pada asalnya mengikut cadangan saya ialah warna hijau. Tetapi Tunku mahukan warna biru, mungkin mengingati warna biru ialah warna Parti Perikatan,” kata Ghafar pada penulis biografinya, Dr Alias Mohamad.

Menurut Ghafar, warna merah pada bendera negeri Melaka melambangkan keberanian, warna putih melambangkan kesucian. Iaitu sama makna seperti apa yang dinyatakan secara rasmi untuk Sang Saka, bendera kebangsaan Indonesia.

Tetapi dari segi rasmi, bendera Melaka dinyatakan sebagai penjelmaan ringkas bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Bendera MCA lwn bendera Kuomintang 

Ghafar adalah seorang aktivis PKMM sebelum menyertai Umno. Bendera Parti Perikatan sememangnya warna biru tua. Ia dianggotai oleh tiga parti, Umno, MCA dan MCA  Dari ketiga-tiga parti itu, hanya bendera MCA yang berwarna biru tua dengan bintang kuning berbucu 11 mewakili negeri-negeri persekutuan ketika itu, juga seperti yang ada pada bendera Persekutuan Tanah Melayu. 

Tetapi dari satu segi, bendera MCA ini adalah reka bentuk semula dari bendera Kuomintang iaitu Parti Kebangsaan China. Sebelum penubuhan MCA, sebahagian anggotanya adalah ahli dan penyokong Kuomintang.

Bendera MCA (kiri) dan Kuomintang.

Bendera Kuomintang mempunyai lambang matahari berbucu 12 untuk melambangkan 12 bulan dalam setahun. Apabila Republik China (ROC) ditubuhkan pada tahun 1928, lambang Kuomintang itu menjadi sebahagian daripada bendera kebangsaan yang berlatar merah. Biru mewakili nasionalisme dan kebebasan, putih mewakili demokrasi dan kesaksamaan, dan merah ialah kehidupan rakyat dan persaudaraan 

Apabila Kuomintang kalah pada Parti Komunis China untuk menguasai tanah besar, ROC hanya dapat memerintah pulau Taiwan sehinggalah ke hari ini. Maka bendera ini menjadi bendera rasmi Taiwan.

Vexillologi bukan saja merupakan bidang kajian atau hobi yang menarik bagi peminat-peminatnya. Tetapi daripada perlambangan bendera-bendera itu, akan terbongkar pelbagai fakta sejarah dan psikologi politik bangsa berkenaan. Itu belum dikira lagi mitos dan kisah-kisah di sebalik reka bentuk sesuatu bendera.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS