Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan negara di dalam sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 menyebut-nyebut tentang madani.
Beliau menyatakan di New York ia adalah satu wawasan yang bertunjangkan nilai asas yang diperlukan di dalam masyarakat harmoni, berkembang maju dan aman – mampan, sejahtera, daya cipta, hormat yakin, ihsan.
Kita tidak dapat bercakap mengenai madani tanpa menyentuh hak asasi manusia.
Gagasan hak asasi manusia moden yang diserlahkan di Barat pada tahun 1948 sebetulnya sejajar dan saling berkait dengan doktrin ‘al-dhoruriyat al-khomsah’ atau boleh dirujuk juga sebagai ‘al-huquq al-insaniyah fi al-Islam’ (hak-hak asasi manusia dalam Islam).
Doktrin lima perkara ini merangkumi lima wilayah yang harus dijaga oleh setiap individu iaitu pertama; Hifdzu al-nafs wa al-ird atau hak untuk hidup (surah al-An’am ayat 151); kedua, hifdzu al-‘aql atau hak persamaan darjat (surah al-Hujurat ayat 13); ketiga, hifdzu al-nasl atau hak memperoleh keadilan (surah al-Maidah ayat 2); keempat, hifdzu al mal atau hak perlindungan harta atau pemilikan (surah al-Baqarah ayat 188); dan kelima, hifdzu al-din atau hak kebebasan beragama (surah al- Baqarah ayat 256, dan surah Yunus ayat 99).
Kelima-lima poin yang disebutkan di atas adalah apa yang ditawarkan oleh maqasid as-syariah yang selama ini menjadikan Islam sebagai sebuah agama yang berkesan dan berhubungan dengan masyarakat.
Menerusi maqasid, Islam adalah etika sosial.
Dalam erti kata lain, apabila Islam itu sendiri adalah etika masyarakat, maka hukum agama akan kelak dipatuhi oleh rakyat atau massa.
Hukum Islam yang berakarkan maqasid as-syariah itu justeru adalah ‘kenderaan masyarakat’ dan bukan wewenang negara.
Saya percaya tiada agamawan yang sanggup mengatakan yang tujuan syariah atau maqasid as-syariah itu bukan untuk melindungi hak manusia, yang mana ia adalah ‘the rights one has because one is human’ serta menjamin taraf dan keadaan hidup manusia, ‘the idea of human rights ultimately is about improving the lives of real, ordinary human beings’.
Doktrin maqasid as-syariah dimantapkan oleh Ibrahim ibn Musa Abu Ishaq al-Shatibi, salah seorang sarjana dan ilmuan Islam dari Afrika Utara yang menulis al-Muwafaqāt.
Doktrin yang dibangunkan oleh Abu Ishaq al-Shatibi ini telah pun mendapat perhatian pakar usūl al-Fiqh dari Tunisia, Syeikh Tahir Ibn Ashur.
Tujuan tertinggi syariah
Dengan maqasid as-syariah kita mengerti yang setiap polisi diambil oleh pemerintah di sebuah negara bermajoriti Islam mestilah menghitungkan tujuan tertinggi syariah iaitu perlindungan dan promosi kepada kualiti hidup insan, kepercayaan, minda sihat dan intelektualiti, kekayaan dan aset serta keturunan.
Dalam hal ini, Ibn Ashur menambah pula kriteria al-hurriyyah iaitu kebebasan, keadilan (al ‘adalah) dan kesetaraan al-musawah yang semua ini merupakan niat terbesar hak asasi manusia moden yang dikemukakan pada tahun 1948.
Itulah sebabnya matlamat antara hak asasi manusia moden dan maqasid as-syariah ini boleh disepadukan dan digerakkan untuk membolehkan kedua-duanya saling beroperasi.
Maka strategi yang boleh digerakkan oleh Anwar Ibrahim menerusi madani, atau Malaysia Madani ialah dengan menggembleng maqasid as-syariah menjadi satu etika sosial atau etika masyarakat, berbanding hukum-hakam semata.
Penekanan kepada tujuan syariah, atau maqasid as-syariah ini penting memandangkan syariah itu sendiri sebagai satu tatanan atau set undang-undang boleh ketinggalan zaman kerana syariah yang tersedia dalam sejarah perkembangan undang-undang Islam adalah berasaskan kefahaman dan amalan setiap generasi khususnya generasi sebelum.
Sebagai contoh meskipun perhambaan dibenarkan di dalam Islam, amalan ini tidak lagi dapat dipertahankan dan dihujahkan dalam dunia moden yang telah menempuh perang dunia, keganasan dan pertumpahan darah atas nama kaum dan gender, serta perbalahan agama yang berpanjangan.
Oleh sebab itu, apabila Anwar Ibrahim menyebutkan mengenai madani dan secara tidak langsung mengaitkannya dengan hak asasi manusia ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York baru-baru ini, kita mesti berani menghujahkan hak asasi manusia yang dianjurkan Islam itu adalah bersifat sejagat dan tidak terikat oleh zaman, atau tempat seperti yang diyakini segelintir pihak.
Jelas sekali berdasarkan perbincangan atas hak asasi manusia adalah hak yang asas dan dasar, serta dimiliki oleh setiap individu sejak ia dilahirkan.
Hak ini merupakan pemberian Tuhan Yang Maha Esa. Oleh kerana sifatnya yang demikian ia tidak boleh dinafikan atau direbut oleh sesiapa pun.
Pemahaman norma-norma sosial semasa menerusi diskusi kritis di atas membolehkan norma sosial yang baru dicipta dan boleh pula dikongsi oleh individu dengan cara yang sejagat.
Maka jika ada konsensus tertentu dicapai oleh masyarakat untuk mengiktiraf hak asasi sesuatu pihak ia mestilah dilihat dalam kerangka ini, seperti kesnya pemansuhan perhambaan di dunia moden ini.
Istilah al-alamiyyyah atau sejagat menunjukkan hak manusia yang ditegaskan Islam itu terpakai kepada setiap manusia tanpa perbezaan gender, bangsa, kepercayaan atau status.
Hak asasi manusia dengan itu tidak dapat dikurangi kerana alasan kebudayaan atau tamadun (la yuatstsir fiha ikhtilaf al-tsaqafat wa al-hadharat), serta melampaui ruang dan waktu (ta’lu ‘ala al-zaman wa al-tarikh).
Kesimpulannya, hak asasi manusia adalah hak setiap manusia kerana ia datang secara pakej dengan diri manusia itu sendiri (‘ala al-Insan ayyan kana wa anna kana).
Meskipun ucapan Anwar di New York dipersendakan oleh Menteri Besar Kedah yang tidak dikenali di pentas dunia itu sebagai hambar namun kita mendapati tidak ada sebab dan hujah kuat daripada orang seperti beliau untuk menafikan Islam yang tulen.
Islam yang diperkenalkan Nabi Muhammad itu memiliki nilai asas harmoni, berkembang maju dan aman.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.