Paling Popular
Terkini

Sekali lagi, perbahasan dasar menjadi kalut apabila dicampur-baur dengan sentimen. Banyak aspek yang perlu diperincikan, khususnya dari perspektif profesional, namun ia berakhir dengan kesimpulan mudah – ya atau tidak. Lebih parah, masyarakat yang membaca hanya tajuk berita dan tiga baris ayat berikutnya, kini sekadar berminat untuk mengetahui sama ada anda sokong atau bantah dalam isu-isu tertentu. Dengan kata lain, mereka menuntut pendirian, tanpa kesabaran untuk meneliti hujah yang menyokong pendirian.

Kali ini, isu pengenalan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar darjah empat sekolah jenis kebangsaan – mencetuskan pertikaian hangat dalam kalangan masyarakat Cina. Seperti biasa, perdebatan isu pendidikan akhirnya dicorongkan kepada perkauman dan agama, yang sudah tentu menyempitkan, jika pun ada jalan keluar di penghujungnya.

Mengapa bantahan mengombak?

Sementara tidak menafikan wujudnya sentimen perkauman dalam sesetengah komuniti Cina yang membantah, agak simplistik juga jikalau dianggap kesemua yang membantah, bersikap rasis.

Misalnya, ramai yang khuatir pembelajaran tulisan Jawi ini membebankan murid sekolah rendah. Suara sebegini datang daripada ibu bapa, dan juga sesetengah guru. Jikalau dikupas lagi, mereka menganggap sukatan bahasa Melayu sedia ada terlalu berat untuk digalas murid sekolah jenis kebangsaan. Bukan kerana mereka menolak pembelajaran bahasa Melayu, tetapi silibus yang terlalu sukar bermula dari darjah satu akan mengendurkan keyakinan murid, lantas melunturkan minat mereka untuk mempelajari bahasa tersebut.

Ini masalah yang berlonggok sejak berzaman-zaman lagi. Mereka sebenarnya menaruh harapan tinggi agar kerajaan baru ini merombak sistem lama, dan mengembalikan pendidikan kepada landasan yang betul tanpa dipengaruhi politik. Malangnya, masalah lama belum habis diselesaikan, sebaliknya ditambah pula dengan isu baru – cukup untuk meledakkan kebimbangan mereka, disusuli dengan kemarahan yang meluap-luap.

Malah, andainya pengenalan seni khat ini dilaksanakan atas alasan untuk memahami dan menghayati keindahan bahasa Melayu, bagaimana pula dengan tulisan Pallava, Kawi dan Nagari yang mempunyai pengaruh besar ke atas bahasa Melayu, sebelum kedatangan tulisan Jawi?

Itu pun belum lagi mengambil kira Malaysia sebagai masyarakat berbilang. Bayangkan, jikalau ada yang menuntut agar bahasa/tulisan Tamil, bahasa kaum asal dan sebagainya juga “diperkenalkan” dan “dihayati”, bukankah ia satu beban kepada guru dan pelajar? Bukankah ia bercanggah dengan matlamat yang digariskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sendiri, yang mahu mencorakkan suasana kegembiraan tanpa beban dalam sekolah?

Hakikatnya, beberapa cadangan diketengahkan, termasuk mengajar seni khat dalam mata pelajaran seni, tidak dipaksakan atau diwajibkan, sebaliknya diberi kebebasan kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya. Mereka yang mengajukan pandangan dan cadangan sedemikian, tidak harus digolongkan sebagai jahil dan rasis.

Sentimen

Bagaimanapun, tulisan ini tidak jujur jikalau cuba menyorok kegusaran sebenarnya yang menyelubungi masyarakat Cina dalam isu ini. Mereka gusar seandainya “pengenalan seni khat” hanya langkah pertama, sebelum “pembelajaran tulisan Jawi”, yang berakhir dengan proses islamisasi.

Bunyinya agak jahil, kerana “menyamakan tulisan Jawi dengan agama Islam”. Namun, hakikatnya ramai yang mempercayai bahawa dengan menguasai tulisan Jawi, seseorang itu lebih memahami al-Quran – cuma mereka tertinggal satu syarat penting, iaitu penguasaan bahasa Arab.

“Mengenali tulisan Jawi tidak semestinya menjadikan kamu seorang Muslim,” demikianlah suara yang cuba memujuk masyarakat Cina agar berlapang dada dalam isu ini. “Memandang salib juga tidak menjadikan kamu seorang Kristian, habis mengapa mereka membantah?”

Inilah sentimennya. Sentimen sedemikian bukan muncul dalam sekelip mata, tetapi sudah dilonggok untuk sekian lama. Situasi ini berlaku kerana banyak perubahan yang tergendala, atas alasan “menjaga sensitiviti dan sentimen Melayu”. Apabila isu Icerd menyaksikan pusingan U, apabila pengiktirafan UEC ditangguhkan, pemimpin Pakatan Harapan sering mengulangi alasan “demi menjaga sentimen Melayu”.

“Apabila masyarakat Melayu menolak Icerd, maka ia ditarik balik. Apabila masyarakat Cina menolak pengenalan seni khat (atau pembelajaran tulisan Jawi), mengapa kerajaan tidak menarik balik keputusannya?” Malah, suara yang lebih keras berbunyi, “Mengapa apa yang disokong masyarakat Cina, misalnya pengiktirafan UEC ditangguhkan; sebaliknya apa yang ditolak masyarakat Cina, misalnya pengenalan seni khat, diteruskan? Jelas, ia adalah hegemoni, di mana Melayu cuba menunjukkan kekuasaan mereka ke atas kaum lain!”

Dilema DAP

Kesimpulan demikian meletakkan DAP sekarang dalam kedudukan MCA dahulu. Pemimpin boleh menuding jari kepada masyarakat, kononnya mentaliti masyarakat masih berada di takuk Malaysia lama, tatkala kita sedang menuju ke Malaysia Baru. Namun, kenyataan sedemikian tidak membantu untuk meredakan keadaan, sebaliknya menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menyemarak.

Apa tidaknya, ramai pemimpin DAP yang bangkit dengan retorik sebegini – MCA telah menjadi pengkhianat bangsa kerana tunduk kepada Umno. Apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, MCA adalah Cina yang tunduk kepada Melayu-Umno. Bukan semua pemimpin DAP berfikiran sedemikian, tetapi tidak kurang yang mempunyai mentaliti sebegitu. Pemimpin sebegini hanya mungkin dinaikkan penyokong yang sewaktu dengannya, bukan?

Retorik yang berapi-api sebelum pilihan raya, kini menjadi ludah yang jatuh dari langit bagai hujan. Pemimpin DAP menjanjikan agar Lynas ditutup, tol dihapuskan, UEC diiktiraf di depan pengundi Cina, tetapi akhirnya gagal menepati janji mereka. Tiada yang sudi memohon maaf atas janji yang terlebih manis ini. Tiada yang menyambut pengundi setelah dilambung dengan harapan yang tinggi. Maka pengundi jatuh ke atas realiti yang keras, disambut kekecewaan yang pahit.

Integriti sudah berkecai. Tidak sukar untuk memahami sentimen masyarakat Cina, apabila dipujuk dengan “sekadar memperkenalkan seni khat, tidak akan diuji dalam peperiksaan” – lantas mereka membalas, “Kerajaan PH ini juga menjanjikan pengiktirafan UEC, apa yang terjadi sekarang? Boleh percayakah?”

Inilah masalahnya. Pengundi mula hilang percaya terhadap kerajaan ini, malah ini mungkin kali pertama DAP dibadai tsunami cemuhan pada tahap kemuncaknya. Laman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching misalnya, dibanjiri puluhan ribu komen yang negatif, malah reaksi “angry”(marah) melebihi “like”(suka) dalam satu statusnya berhubung isu seni khat.

Tidak cukup dengan letupan kegeraman di alam maya, seorang bapa Cina telah membaling telur di pejabat seorang ADUN DAP pada petang 4 Ogos 2019, sebagai protes terhadap DAP, yang menurutnya, mengkhianati kaum Cina. Ledakan emosi ini menular. Bahkan, dalam kalangan pemimpin DAP, tidak kurang yang menganggap mereka bersalah dalam isu ini. Satu petisyen telah ditular dan berjaya mengumpul tandatangan lebih 40 orang wakil rakyat dan pemimpin DAPSY, di samping lebih 200 cawangan menurunkan cop mereka – sebagai bantahan terhadap pengajaran seni khat di sekolah rendah jenis kebangsaan.

Sentimen lawan sentimen

Apa seterusnya? Apabila sentimen dikerah untuk melawan sentimen, mustahil kita mendapat kesudahan yang rasional. Setiap aksi akan mengundang reaksi, dan tiada penghujung seandainya kita terus dihanyutkan arus populis. Ia hanya akan berakhir dengan ditelan pusaran, apabila arus dari pelbagai arah bertemu.

Sudah tiba masanya kita kembali kepada perbahasan dasar yang mengangkat hujah yang profesional dan rasional. Sesuatu dasar yang diketengahkan dengan niat baik, perlu diambil kira kesan dan akibatnya. Ia bukan cara yang profesional untuk satu kementerian, jika hanya melontar satu idea dan kemudian mempertahankannya dengan pelbagai dalil tanpa hujah dan fakta yang kukuh.

Akhir sekali, secara peribadi, saya tiada masalah dengan tulisan Jawi dan seni khat, bahkan bergembira seandainya saya mampu mengenali sedikit sebanyak mengenainya. Namun penggubalan dasar bukan sekadar soal minat atau sikap peribadi, tetapi impak terhadap sesebuah masyarakat semasa dan selepas pelaksanaannya. Ia memerlukan perancangan yang rapi dan menyeluruh.

Dan lebih penting, sebagai kerajaan yang baru setahun memerintah, jangan sesekali memandang remeh soal integriti. Tiada kerajaan yang mampu bertahan tanpa kepercayaan rakyatnya. Gelombang yang melambungkan anda dahulu, juga bisa menenggelamkan anda kemudian. Itu namanya tsunami.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS