Perubahan politik semasa pilihan raya umum (PRU) lepas digambarkan seolah-olah menunjukkan negara berada pada landasan tepat.
Lalu diistiharkan agar rakyat jelata meraikan kemenangan PH dengan cuti panjang. Lalu bertempik sorak segala penduduk di atas bumi dan di dalam tanah atas kemenangan gilang-gemilang itu.
Ia bukan sebarang kemenangan. Bukan sebarang perjuangan.
Namun politik yang sifatnya dinamik memerlukan analisis yang lebih progresif bagi mengukur perubahan-perubahan yang mungkin membawa negara ke landasan salah.
Penguasa yang kehilangan kuasa akan berusaha menjelma kembali untuk mendapatkan kuasa dengan bentuk yang berbeza.
Justeru penguasa semasa yang berpegang kepada prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan terancam.
Kurang adil dan lagi tidak tepat untuk membuat ukuran bagaimana pencapaian kerajaan PH mengurus negara dan politik dalam tempoh baru setahun memerintah.
Namun pada tempoh yang berlalu itu masih boleh dilihat beberapa petanda perubahan dalam politik negara. Banyak peristiwa politik boleh menjadi cerminan pergolakan dalam perebutan kuasa antara kelompok yang berkuasa, yang baru kehilangan kuasa dan yang berjinak-jinak untuk mendapatkan kuasa.
Ganti tempat Umno
Kerjasama politik di antara Umno dan PAS yang selama berpuluh-puluh tahun berseteru dianggap paling menonjol. Berakhirnya perseteruan itu juga menunjukkan paradigma politik Malaysia telah berubah.
Meskipun masa hadapan kerjasama politik tersebut belum jelas, namun perwakilan PAS meluluskan usul tahaluf siasi dengan Umno dalam muktamar tahunannya di Kuantan, Pahang baru-baru ini. Ia adalah salah satu petanda perubahan politik.
Begitu juga langkah pimpinan PH bersama Dr Mahathir Mohamad sebelum PRU ke-14 lalu. Ia adalah perkembangan menarik.
Mahathir menghantar Deklarasi Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menuntut Najib Razak berundur. Ia adalah antara kemuncak siri perubahan politik Malaysia.
Deklarasi Rakyat itu juga yang membawa penubuhan Bersatu yang cuba menggantikan tempat Umno sebagai parti untuk orang Melayu.
Ini ditambahkan dengan keputusan politik yang memberi ruang lebih baik kepada Bersatu menyebabkan kemudiannya ramai anggota parlimen, Adun serta pemimpin Umno beralih sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Di Sarawak, walaupun PH gagal membentuk kerajaan negeri, parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri - kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) - juga memberi sokongan kepada Putrajaya.
Percaturan politik yang semakin kompleks ini memberi warna-warni kepada kerajaan Malaysia Baru.
Buku Hajj tulisan Ali Shariati - yang ada terjemahan dibuat Muhammad Nuur Faathir dan diterbitkan syarikat A S Noordeen pada 1984 - adalah naskhah yang patut dibaca orang ramai bagi memahami makna kemenangan.
Tentang kutub Qabil
Seperti yang ditulis Shariati sendiri, karyanya itu bukanlah sebuah buku fikah tetapi tulisan yang mengajak pembaca berfikir tentang ibadah yang menjadi rukun kelima Islam.
Shariati adalah salah seorang cendeakawan Muslim yang menggunakan teori kelas Karl Marx dalam konteks sosiologi.
Ia mengkaji tingkah laku masyarakat dalam mencari kehidupan yang lebih sempurna.
Marx memfokuskan pertentangan kelas borjois dengan proletariat. Shariati pula membawa konsep kutub Qabil dan Habib sebagai satu dialektika kehidupan dalam bermasyarakat.
Kutub Qabil adalah sisi penguasa atau raja, pemilik dan aristokrat. Ia merupakan pemilik kekuasaan.
Ada tiga kekuasaan yang disebutkan oleh Shariati, iaitu politik, ekonomi dan agama.
Kemudian, manifestasi ketiga kekuasaan kutub Qabil tersebut dalam pentas sejarah sosial mengambil bentuk yang berbeda-beda, tergantung tingkat perkembangan masyarakatnya.
Pada tahap-tahap perkembangan sosial yang masih primitif dan terbelakang, kutub itu memanifestasikan diri dalam bentuk pemusatan kekuasaan pada seorang individu.
Individu tersebut menyerap ketiga-tiga cabang kekuasaan (raja, pemilik dan aristokrat) pada dirinya. Ia mewakili muka Qabil.
Sementara itu, dalam tahap evolusi sosial yang lebih maju, ketiga kekuasaan tersebut dipisahkan, iaitu kekuasaan politik, kekuasaan ekonomi dan kekuasaan agama.
Di sepanjang sejarah, kutub Qabil berperanan sebagai pemimpin umat manusia. Begitu evolusi dalam masyarakat manusia yang panjang, meluas, berubah dan sistem-sistemnya menjadi lebih kompleks, namun asasnya Shariati mengatakan bahawa kutub Qabil tetap menjadi pemimpin.
Kutub Qabil mengubah wajahnya mengikut keperluan semasa.
Dalam memahami lanjut tentang wajah sebenar kutub Qabil, Shariati membuka wajah yang bersembunyi di balik topeng politik, ekonomi dan agama.
Qabil menciptakan tiga buah kekuatan untuk menindas: kekayaan dan kemunafikan yang melahirkan despotisme; eksploitasi; dan teknik-teknik indoktrinisasi.
Baca Saudagar minyak unta di Putrajaya
Ketika kekuatan ini dapat dijelaskan dengan istilah-istilah monoteisme (tauhid).
Fir’aun: lambang penindas; Qarun: lambang kapitalisme; Balaam: lambang kemunafikan (agama).
Pertarungan politik antara PH dan BN dalam konteks masyarakat adalah juzuk yang kecil dalam kehidupan.
Wadah perjuangan politik sama ada parti ataupun mana-mana pertubuhan rasmi atau tidak boleh memilikkan sesuatu idealisme perjuangan politik dengan diri mereka.
Ia mungkin sekadar menggunakan idealisme perjuangan politik untuk mendapatkan kedudukan dalam politik.
Namun dalam kedudukan kehidupan masyarakat yang ideal, adil dan sejahtera, konsep yang diperkenalkan Shariati adalah sangat relevan digunakan dalam memahami realiti masyarakat.
Kemenangan PH bukanlah untuk waktu PH berasa selesa, kuat dan gembira. Perubahan politik terbesar yang pernah dialami oleh Malaysia sejak merdeka adalah detik terhebat dalam negara.
Jangan fikir Umno/BN mati tersembam menyembah ke bumi.
Setiap perubahan - sama ada revolusi atau tidak - akan wujud ‘counter revolution’. Ia merupakan tindak balas terhadap perubahan.
Riaknya ada. Hanya menanti riak yang kecil-kecil itu berhimpun membentuk gelombang yang meroboh istana pasir.
Shariati menyatakan: "Saudara masih berada dalam keadaan bahaya walaupun saudara telah menjadi seperti Nabi Ibrahim AS. Walaupun setelah saudara menyembelih (mengorbankan) Ismail saudara.
Syaitan menjelma dalam berbagai bentuk dan mempunyai banyak tipu muslihat.
Tempoh berpantang PH selepas menang ini belum berakhir lagi. Parti pembangkang mulai menyusun semula barisan politik baru yang menampilkan kerjasama.
Meski syaitan besar sudah direjam, syaitan tidak akan mati hingga kiamat. Syaitan dari dalam adalah syaitan paling bahaya dan durjana.
Ada syaitan berwajah pejuang. Ada syaitan berjubah dan ada syaitan pemurah.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.