ADS

Siapakah di antara kita yang masih mengingati lagu Cinta IT dendangan Siti Nurhaliza yang giat diputarkan di corong radio dan stesen TV sekitar sepuluh tahun lalu?

Lagu yang memupuk perasaan sayang kepada teknologi maklumat (IT) ini menjadi, antaranya, medium penting untuk mempromosi peluasan teknologi berkenaan di Malaysia, yang pada waktu itu hanya mempunyai kira-kira 120,000 pelanggan Internet melalui Jaring dan TMNet.

Tidak dinafikan juga, lagu ini turut menambah meningkatkan lagi kepopularan Siti, yang pada masa itu baru menjengah usia 20-an dan masih menjadi kegilaan ramai lelaki kerana belum lagi bersama Datuk K.

siti nurhaliza in concert 280305 Penyanyi berperwatakan sederahana daripada Kuala Lipis, Pahang itu juga mungkin dikira sebagai duta kempen teknologi maklumat yang sesuai untuk menyampaikan lagu tersebut, memandangkan Malaysia masih dipandang sebagai negara yang lebih 'hulu' berbanding negara maju pada waktu itu.

Justeru, usaha menggali semula lirik Cinta IT ini dipelopori oleh penggiat filem dan juga penulis Amir Muhammad.

ADS

Pada satu pertemuan dengannya di Kuala Lumpur pada awal 2007 (seingat saya), beliau menyatakan lagu itu penting untuk mendefinisikan tindakan pentadbiran Abdullah Ahmada Badawi yang giat memburuk-burukkan pengaruh media Internet.

Sikap ini amat berlawanan sekali dengan yang ditunjukkan kerajaan ke atas Internet, kata Amir, yang menjelaskan dalam blognya bahawa lagu tersebut disampaikan dalam bentuk "paksaan."

"Lagu ini sangat menekankan kebaikan IT sehingga anda mendapat gambaran bahawa keengganan kepada tarikan IT ini boleh membawa kepada suatu bentuk pengkhianatan," katanya dalam coretan bertarikh 12 Julai 2007.

ADS

Bagi tujuan penghayatan semula, mari kita imbas kembali lirik lagu tersebut:

IT Agenda Baru Negara,

Malaysia Melangkah Ke Cyberjaya,

Teknologi Hebat, Penyebar Maklumat,

Mencipta Satu Bangsa Berjaya.

IT Budayalah Hidup Kita,

Kekayaan Baru Dunia,

Cintai Pada IT,

ADS

Sejahteralah Diri.

Kenal IT

Suka IT

Pelajari Setiap Hari

IT Terkini

Oh ~ IT

Guna IT

Tingkatkan Ilmu IT

Malaysia Bistari

Terima IT

Belajar IT

Sayang IT

Guna IT

IT

Lagu ini sepatutnya amat mudah diingati kerana liriknya menceritakan kepentingan teknologi maklumat dengan bahasa yang cukup mudah, ringkas dan jelas kepada maksudnya.

Ia merupakan ciri-ciri penting sesebuah lagu propaganda kerajaan, dan orang yang bertangungjawab ke atas lagu ini, tidak lain daripada Tan Sri Mohamed Rahmat yang meninggal dunia kelmarin.

Tidak hairanlah mantan menteri penerangan ini digelar 'Mr Propaganda' oleh seorang anak buahnya Zukri Valenteno Mohd Ali yang turut menyifatkan Mohamed sebagai "seorang pemikir, strategis dan pelaksana".

Mohamed, dikenali juga 'Tok Mat' atau 'Mat Bulat' berkhidmat dalam pentadbiran Mahathir sepanjang 1988 hingga 1999 dan juga memegang portfolio sama daripada 1978 hingga 1982 semasa Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri.

Di bawah Mahathir, Tok Mat melalui kementeriannya turut berperanan mempromosi kebangkitan zaman siber negara ini, bermula dengan usaha Mahathir membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sejak tahun 1996.

Usaha Mahathir yang berwawasan itu kemudiannya berkembang dalam tempoh paling mencabar - saat ekonomi negara terjejas akibat krisis matawang Asia menjelang mulai 1997, dan diburukkan lagi dengan peristiwa pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, ia tidak menghalang Mahathir meneruskan projek-projek mega termasuk Cyberjaya, Putrajaya, Menara Berkembar Petronas serta Menara Kuala Lumpur, termasuk penganjuran Sukan Komanwel pada 1998.

Di saat ini juga Mahathir menerima serangan hebat dalam Internet, khususnya melalui laman-laman web anjuran pembangkang yang beralih ke media Internet kerana tidak mendapat tempat dalam media arus perdana kawalan kerajaan.

Dalam latar peristiwa inilah Malaysiakini muncul bagi memenuhi lompong tersebut, termasuk laman-laman pro-Anwar dan pembangkang yang mula berkembang biak seperti Freeanwar.net , dan kemudian blog Malaysia Today , selain forum politik popular Sangkancil.net .

Laman-laman web ini kemudiannya menjadi medium yang sangat berpengaruh, mujurlah berkat kempen Cinta IT Siti Nurhaliza!

Kita dapat melihat bagaimana BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya 2008, antaranya dikaitkan dengan kegagalan mereka menggembleng Internet dan media baru, khususnya untuk meraih sokongan pengundi muda.

Menulis dalam buku memoirnya bertajuk Umno: Akhir Sebuah Impian , Mohamed mengakui kecewa dengan Mahathir yang tidak menjanjikan apa-apa kepada bekas setiausaha agung Umno tersebut selepas diarahkan meletak jawatan pada 1999.

Namun, apa pun anugerah yang bakal diberikan kepada Mohamed tidak terbanding kesannya kepada rakyat Malaysia yang dipupuk secara berterusan supaya menerima Cinta IT Siti Nurhaliza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS