Penggunaan monosodium glutamat (MSG) sebagai penambah perisa dalam makanan sering menimbulkan persepsi risiko kesihatan dalam kalangan pengguna.
Selama berdekad-dekad, persepsi tersebut antaranya mendakwa, MSG menyebabkan kanser, keguguran rambut atau kebotakan.
Namun, bersandarkan data daripada kajian saintifik berwibawa dan petikan kata-kata para pakar, tiada bukti ilmiah MSG boleh menjadi penyebab kanser dan keguguran rambut.
Ketua Bahagian Pemasaran Digital Ajinomoto, Mohd Nazrin Badrol Hisham menolak persepsi Ajinomoto mengundang risiko kesihatan tersebut malah menegaskan penambah perisa itu adalah selamat untuk digunakan.
Menurut beliau, punca keguguran atau kebotakan mahupun kanser terjadi disebabkan pelbagai faktor lain antaranya genetik.

“Kami juga sudah memberi penjelasan diiringi dengan fakta bagi menjelaskan dakwaan terbabit di laman sesawang Ajinomoto,” katanya.
MSG atau disebut (Monosodium Glutamat) Ajinomoto dihasilkan melalui proses penapaian semula jadi daripada sumber tumbuhan seperti tebu dan ubi kayu.
Glutamat merupakan komponen utama terdapat dalam MSG. Glutamat ialah sejenis asid amino semula jadi yang memberikan rasa umami atau keenakan dalam makanan.
Ia secara semula jadi terdapat dalam tomato, keju, cendawan, serta makanan tinggi protein seperti daging, ayam, ikan, dan susu termasuk susu ibu.
Rasa Umami ialah rasa asas kelima selain manis, masin, masam, pahit. Rasa Umami memberikan rasa seakan daging yang menjadikan makanan menjadi sedap.

Selain itu, AJI-NO-MOTO MSG mempunyai tahap sodium 2/3 lebih rendah berbanding garam biasa. Dengan menggantikan sebahagian garam dengan AJI-NO-MOTO, pengambilan sodium boleh dikurangkan sebanyak 40%.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) melalui satu kenyataan pada laman sesawangnya memberi jaminan bahawa MSG selamat untuk digunakan.
Selain itu, badan kawal selia dan santifik dari seluruh dunia termasuk Persatuan Perubatan Amerika (AMA), Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah Untuk Makanan (SCF), dan Jawatankuasa Pakar Bersama FAO/WHO serta Aditif Makanan Bangsa-bangsa Bersatu (JECFA), juga telah mengkaji semula kajian mengenai MSG dan mengesahkan ia selamat untuk digunakan.
Justeru, dengan memberi tumpuan pada fakta saintifik, Ajinomoto tekad memastikan pengguna akan berasa yakin untuk menggunakan MSG sebagai cara yang selamat serta berkesan untuk meningkatkan rasa makanan mereka.