ADS
mk-logo
Pengumuman
Fahami mengapa kerajaan tegas, kata Yusof Haslam
Diterbitkan:  Mar 21, 2025 11:13 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Wawancara | Penggunaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu atau pihak menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang seperti penghinaan atau ucapan yang boleh mencetus ketegangan kaum dan agama perlu dilakukan dengan mengambil kira nilai keadilan serta kepentingan semua pihak dalam masyarakat.

Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam berkata, tindakan tidak adil atau terlalu berat sebelah boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat serta merosakkan kepercayaan terhadap sistem undang-undang dan kerajaan.

“Mungkin kerajaan mempunyai asasnya (mengenakan tindakan kompaun berdasarkan kesalahan) saya sebagai orang seni bersikap neutral, namun apabila berlaku kesalahan, biar berlaku adil tidak kira siapa pelakunya kerana rakyat melihat.

“Jika A tumbuk orang dipenjara seminggu tapi untuk kes lain, B tumbuk orang tetapi dipenjara setahun, ini tidak boleh, biarlah adil.

ADS

“Jadi, saya berharap kerajaan akan serius dan konsisten dalam mengambil tindakan tanpa memilih kaum atau bulu demi negara aman damai,” katanya.

Yusof Haslam gesa semua pihak berhati-hati dengan kandungan sensitif dimuat naik di media sosial

Yusof, 70, juga mengakui semakin bimbang dengan arus perkembangan media sosial kerana ia memberi ruang pada penghasilan kandungan yang boleh memberi implikasi kepada masyarakat.

Justeru, kata pengarah dan penerbit filem Bara itu penting bagi kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengawasi dan mengekang penyalahgunaan media sosial dengan cara yang adil. 

“Tidak kira Melayu, Cina, India atau Kadazan, undang-undang tetap undang-undang, dengan tindakan tegas baru orang berasa takut, jika tidak, akan melarat.

“Maki atau memperkecilkan agama dan kaum lain, ini bagi saya tidak boleh, baik Islam, Hindu atau Kristian, kita harus saling menghormati untuk hidup dalam negara dengan kepelbagaian agama.

“Saya pun risau semakin ramai yang berani mengeluarkan kenyataan panas di media sosial, bagi saya ini mengganggu keharmonian sedangkan dalam masyarakat berbilang kaum, hormat-menghormati antara satu sama lain adalah kunci untuk memastikan perpaduan terpelihara,” katanya.

Penyampai 3 Pagi Era mohon maaf secara terbuka selepas didakwa mempersenda upacara Thaipusam dalam video dimuatnaik

Menurut Yusof, insiden membabitkan penyampai radio Era FM yang menyentuh sensitiviti penganut Hindu baru-baru ini harus dijadikan iktibar oleh semua stesen radio di negara ini.

Beliau berkata, kejadian itu menunjukkan betapa pentingnya untuk penyampai radio dan media lain tidak terlepas pandang isu menyentuh sensitiviti dan kepekaan terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Stesen radio disaran untuk sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia kerana penyampai radio mempunyai pengaruh besar, bukan setakat menyampaikan hiburan.

“Kejadian itu perlu dijadikan titik perubahan kepada cara media mengendalikan hal berkaitan agama dan budaya, mereka tidak boleh melakukan kesilapan kerana ramai yang mendengar.

“Jika tidak, ia akan menjadi komunikasi yang tidak sihat, jadi saya harap masing-masing akan lebih berhati-hati kerana apabila bercakap di media sosial, satu Malaysia boleh nampak, ia kini adalah dunia tanpa sempadan,” katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Network Systems (MBNS) Sdn Bhd kerana memuat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM pada 11 Mac lalu.

Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dipinda sebulan sebelum itu. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan kompaun RM250,000 terhadap MBNS itu mendapat kelulusan Timbalan Pendakwa Raya dan melibatkan syarikat, bukannya individu yang menyediakan denda maksimum RM500,000 selepas dipinda dan berkuat kuasa sejak 11 Feb lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS