Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kejayaan JDT letak Johor di peta dunia - TMJ
Diterbitkan:  May 2, 2016 5:22 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Kejayaan demi kejayaan yang dilakar pasukan bola sepak JDT meletakkan Johor di peta dunia, kata Tengku Mahkota Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sejak tahun 2013 menurut beliau, prestasi JDT semakin meningkat termasuk kedudukan kewangan serta hubungannya dengan kelab gergasi dunia.

Katanya, laman web JDT juga mencipta sejarah apabila mencatatkan 87.8 juta pelawat pada tahun 2014, 114.8 juta pelawat (2015) dan 61.1 juta pelawat hingga April 2016.

"Pengikut terbesar di laman web JDT selepas Malaysia adalah dari Amerika Syarikat, diikuti Singapura, United Kingdom, Indonesia, Jepun, Australia dan Jerman.

"Angka-angka ini juga melayakkan JDT meraih Anugerah Khas SAM-100Plus dan juga anugerah Pasukan Sukan Pilihan Online.

"Ini juga satu pencapaian yang besar buat kelab dan ini adalah antara sebab mengapa kelab kecil kita harus berbangga dengannya, secara tidak langsung telah meletakkan Johor di peta dunia," katanya dalam kenyataan di Facebook, sebentar tadi.

Beliau yang juga pemilik JDT berkata, sejak mengambil alih pasukan itu pada tahun 2013, konsistensi adalah kunci kepada kejayaan skuad Harimau Selatan.

"Kita perlu konsisten dalam mencapai matlamat yang dituju. Dari segi infrastruktur bola sepak, JDT adalah yang terbaik di negara ini dengan kemudahan latihan dan stadium bertaraf dunia.

"Tahun ini juga menyaksikan beberapa lagi pencapaian penting bagi JDT apabila kita memulakan pembinaan 2 projek besar iaitu stadium baru di Gelang Patah dan akademi JDT di Kulai," katanya.

Tambah Tunku Ismail, sebagai sebuah kelab muda, JDT bergerak sangat pantas dan beliau bangga untuk mengatakan JDT sedang bergerak ke arah yang betul untuk projek-projek jangka panjang.

Menurutnya, tahun ini juga menyaksikan JDT menjalin hubungan dengan kelab gergasi seperti Barcelona, Real Madrid, Atletico Madrid, Valencia dan juga Hokkaido Consadole Sapporo.

"Juga tidak dilupakan kerjasama antara JDT dan Borrusia Dortmund yang membantu dalam pembangunan akar umbi.

"Hubungan seperti ini memberikan JDT kelebihan untuk belajar daripada semua kelab yang berjaya dengan berkongsi kepakaran dan membolehkan program pertukaran pemain dan jurulatih antara kelab kami," ujarnya.

Kejayaan demi kejayaan

Sementara itu, beliau turut merangkumkan perjalanan JDT sepanjang tempoh mengambil alih pasukan itu sehingga sekarang.

Kata beliau, sejak tahun 2013 JDT mara tiga kali ke peringkat akhir dan pada perlawanan akhir Piala FA yang akan datang ini menjadikannya empat kali dalam tempoh 4 tahun.

"Alhamdulilah, ini adalah tahun yang baik. Saya percaya dalam setiap kejayaan, ia bergantung kepada perancangan baik dan keupayaan dalam membuat keputusan yang betul. Ia adalah kunci kejayaan.

"Pada tahun 2013 JDT berada di tempat ketiga dalam Liga Super, mara ke perlawanan akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia," jelasnya.

Bagi tahun 2014, Harimau Selatan dinobatkan selaku juara Liga Super, mara ke separuh akhir Piala FA dan merupakan naib juara Piala Malaysia.

Pada tahun 2015 pula menyaksikan JDT menjulang Piala Sumbangsih, mempertahankan kejuaraan Liga Super, mara ke suku akhir Piala Malaysia dan mencipta sejarah dengan memenangi Piala AFC.

"Menjuarai Piala AFC tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh mana-mana kelab dari Asia Tenggara.

"Pada tahun ini pula, JDT telah memenangi Piala Sumbangsih, layak ke pusingan kalah mati Piala AFC, dan kini di tempat kedua dalam saingan Liga Super dan di pentas akhir Piala FA," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS