Pemuda Umno menggesa kerajaan tidak tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat yang bakal mengenakan tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai ujian terhadap ketegasan dan maruah negara dalam hubungan diplomatik serta perdagangan antarabangsa.
Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin berkata tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport Malaysia bermula 9 April ini merupakan langkah unilateral yang tidak adil serta mencerminkan sikap proteksionis melampau.
“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan industri strategik negara seperti elektronik, tekstil dan minyak sawit, malah mencerminkan sikap tidak menghormati hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala yang telah lama terjalin,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut Hafiz (gambar bawah), Malaysia merupakan rakan dagang strategik yang konsisten dan konstruktif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan global, justeru tindakan Amerika itu wajar dipandang serius.

Katanya Malaysia mempunyai hak penuh di bawah Peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengenakan tarif balas (retaliatory tariffs) sekiranya rundingan tidak berhasil.
“Jika rundingan tidak berkesan, tindakan tegas dan bermaruah mesti diambil. Malaysia tidak boleh dilayan sebagai negara kelas kedua dalam perdagangan antarabangsa.
“Malaysia negara berdaulat. Kita bersahabat dengan hormat, bukan tunduk tanpa syarat,” tegas Hafiz.
Sebelum ini, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat memaklumkan pelaksanaan tarif baharu terhadap beberapa negara termasuk Malaysia, yang menurut mereka tidak memberikan akses pasaran yang setara kepada syarikat AS.

Malaysia termasuk dalam senarai 26 negara yang bakal berdepan kadar tarif tinggi atas alasan “tidak memberi layanan setara” dalam perdagangan dua hala.
AS mengenakan tarif asas yang lebih tinggi ke atas produk yang diimport dari Malaysia - iaitu sebanyak 24 peratus - sebagai sebahagian daripada langkah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menangani defisit perdagangan republik itu.
Presiden AS Donald Trump membuat pengumuman itu dari Rumah Putih pada pagi tadi (4 pagi waktu Malaysia), dalam majlis yang dinamakan ‘Liberation Day’.
Langkah tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai bercanggah dengan semangat perdagangan bebas yang selama ini dilaung-laungkan Washington.
