Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemain bola sepak di Malaysia bukan tidak bagus, juga jurulatih - namun sistem sedia ada tidak mampu membawa negara ke peringkat tertinggi, kata jurucakap Ultras Malaya, Alfadli Awaludin susulan prestasi skuad kebangsaan.

Kini Harimau Malaysia berada di kedudukan 174 dunia, iaitu kedudukan paling rendah dalam sejarah bola sepak Malaysia berbanding kedudukan tertinggi pernah dicapai di tangga ke-75 pada 1993.

Alfadli berkata, penyokong perlu berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat bahawa inilah tahap bola sepak kita.

"Peluang yang kita ada ialah untuk membina generasi pasukan yang lebih baik dan terbaik untuk masa depan. Itu yang harus kita lihat.

"Jika kita sibuk memandang apa yang ada sekarang, amat rugi kerana kita sudah sampai tahap yang mana kita tidak boleh meningkat naik lagi dengan apa yang kita ada.

"Tetapi kita boleh meningkat naik dengan apa yang kita ada untuk masa depan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Alfadli, sistem pembangunan bola sepak negara yang sedia ada tidak selari pada setiap peringkat.

Katanya sistem pembangunan pemain, Liga Malaysia dan skuad negara harus selari dalam hala tuju mereka dan bergerak seiringan dalam mencapai visi dan misi yang ditetapkan.

"Itu yang harus kita lakukan.

"Sekarang yang kita ada pembangunan akar umbi menghala ke kiri, Liga Malaysia menghala ke kanan, manakala skuad negara pula menghala terus, maka jadilah apa yang terjadi sekarang," jelasnya.

Cadangan emosi

Ditanya mengenai cadangan membubarkan skuad senior dan digantikan dengan pasukan bawah 22 tahun (B-22), beliau berpendapat perkara itu hanya cadangan mengikut emosi.

Jelasnya, cadangan itu sudah pun dilakukan sebelum ini namun hasilnya adalah tahap dan prestasi yang berlaku sekarang.

"Marahkan prestasi skuad senior terus suruh bubar, walhal perkara ini pernah berlaku dahulu di mana skuad B-22 yang menggantikan skuad senior pada waktu itu.

"Skuad kebangsaan yang kita ada sekarang inilah, apa jadi? Sama sahaja kerana sistem bola sepak kita yang menyekat kemaraan pasukan negara untuk ke peringkat lebih tinggi.

"Itu kita kena berani terima sebagai satu hakikat. Tukar sana, ganti sana, salahkan sana, salahkan sini, tidak menyelesaikan masalah akar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS