Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Veteran, Pemuda Umno sah hadir muktamar PAS di Kota Bharu
Diterbitkan:  Aug 24, 2026 3:48 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Veteran Umno hari ini mengesahkan kehadirannya ke konvensyen Dewan As-Sabiqun PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu pada 3 Sep depan.

Menurut Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, pihaknya akan hadir demi penyatuan ummah.

"Kami akan hadir, demi penyatuan ummah," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Mustapha Yaakub

Terdahulu dalam hantaran di Facebook, Mustapha mengesahkan pihaknya ada menerima jemputan daripada Dewan As- Sabiqun.

Dewan As- Sabiqun merupakan sayap veteran PAS.

Jemputan PAS kepada Umno menyusul selepas mereka menjalinkan kerjasama dan persefahaman dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.

PAS melalui Perikatan Nasional (PN) kini sedang berunding untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Negeri Melaka yang dijadualkan tidak lama lagi.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan bahawa parti itu akan menghantar wakil ke Muktamar Tahunan PAS yang akan berlangsung di Kota Bharu.

Ahmad Zahid Hamidi

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, wakil yang akan dihantar Umno akan ditentukan kemudian.

"Kita pasti akan hantar wakil ke muktamar berkenaan," katanya ringkas.

Terdahulu hari ini, Pemuda Umno mengesahkan akan menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS.

Langkah berkenaan menandakan keterbukaan ruang interaksi dan hubungan diplomatik politik antara kedua-dua sayap parti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh juga mengesahkan komitmennya untuk memenuhi undangan rasmi daripada kepimpinan Pemuda PAS.

"Memang ada jemputan daripada Pemuda PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan dan insya-Allah, saya sudah menyatakan komitmen untuk hadir," katanya yang dipetik oleh Berita Harian hari ini.

Fokus halatuju PRN dan PRU

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal turut mengulas mengenai Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang bakal diadakan pada 10 September nanti.

Dr Muhamad Akmal Saleh

Menurutnya, perhimpunan itu akan menjadi medan strategik bagi merangka persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Antara fokus utama termasuk pengumpulan idea dan cadangan daripada perwakilan akar umbi untuk dipertimbangkan sebagai teras manifesto parti.

"Pada perhimpunan itu nanti kita akan buka untuk perwakilan mencadangkan perkara terbaik untuk dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam mendepani PRU.

"Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.

"Saya yakin, perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS