ADS
mk-logo
Berita
Pusingan akhir rundingan perjanjian pandemik global bermula Selasa ini

Pusingan akhir perundingan bagi merangka perjanjian pandemik global yang bertujuan mengelak kekacauan seperti yang dialami semasa krisis Covid-19 akan bermula Selasa ini di Geneva, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Rundingan akan disambung semula, dengan delegasi dijangka akan berbincang dengan kerajaan masing-masing mengenai isu-isu yang masih menjadi pertikaian.

Perjanjian itu yang  telah diusahakan selama bertahun-tahun dan mungkin boleh diterima dalam bulan Mei pada Perhimpunan Kesihatan Dunia, yang merupakan badan pembuat keputusan WHO.  

WHO menegaskan keperluan mendesak untuk kesiapsiagaan, sambil memberi amaran bahawa pandemik seterusnya bukan persoalan “jika”, tetapi “bila”.

Perjanjian itu, yang kali pertama dicadangkan pada 2021 dan dijangka siap tahun lepas, menyeru kepada pengukuhan sistem kesihatan global bagi membolehkan pengesanan dan tindak balas segera terhadap penyakit-penyakit yang baru muncul.

ADS

Dalam situasi pandemik masa depan, perjanjian itu bertujuan memastikan pembangunan pesat dan pengagihan saksama vaksin, rawatan dan peralatan perlindungan.

Satu daripada perkara utama yang masih dirundingkan ialah Artikel 12 dalam draf perjanjian, yang merangkumi isu pengagihan adil ubat-ubatan dan vaksin.

Artikel itu bertujuan menangani ketaksamaan yang berlaku semasa pandemik Covid-19, apabila sesetengah negara kaya sudah memberi dos ketiga vaksin kepada rakyatnya, manakala negara berpendapatan rendah masih menunggu dos pertama.

Perjanjian itu turut merangkumi perkongsian sampel patogen dan akses saksama kepada produk perubatan yang dihasilkan. Negara-negara akan dikehendaki berkongsi sampel ancaman penyakit yang baru muncul, sambil menerima manfaat secara adil daripada vaksin dan rawatan yang dibangunkan.

Namun begitu, rundingan masih berterusan berhubung sejauh mana syarikat farmaseutikal perlu menyediakan produk mereka secara percuma atau pada kos rendah ketika darurat kesihatan global.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS