PRK AYER KUNING | Ketika ramai pemerhati ragu terhadap peluang Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Ayer Kuning, seorang pemimpin parti itu memberikan perspektif baru bagi difikirkan oleh para pengundi hujung bulan ini.
Kata Timbalan Presiden PSM, S Arutchelvan, penyertaan calon mereka – Bawani KS – menawarkan ‘warna’ baru untuk menjadi pilihan pengundi.
Tanpa pembabitkan Bawani dan PSM, katanya, PRK Ayer Kuning akan hambar kerana dibayangi oleh dua calon yang sebenarnya tidak banyak berbeza, khususnya dari aspek latar belakang mereka.
“Sebenarnya nasib baik PSM bertanding. Bayangkan ketika ini kita ada (calon) PAS lawan Umno (BN). Kedua-dua parti mengemukakan seorang ulama untuk menariik pengundi.
“Kemudian anda boleh bayangkan bagaimana pakaian, kempen dan nilai hujah yang akan dibawa kedua-dua parti semasa berkempen dan di dalam dewan undanngan negeri.
“Bahkan bendera kedua-dua parti yang bertanding pun sangat sama kecuali dibezakan oleh tona warna biru.
“Dengan adanya PSM, sekurang-kurangnya anda boleh lihat ada warna merah yang garang,” katanya dalam kenyataan media.
PRK Ayer Kuning - yang berada dalam kawasan Parlimen Tapah di Perak - akan diadakan pada 26 April ini ekoran kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 23 Feb lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 April ini sebagai hari penamaan calon.
PSM menamakan Bawani yang juga timbalan setiausaha agung parti itu sebagai calon, manakala BN menamakan Mohamad Yusri Bakir sebagai wakil parti kerajaan. Pembangkang pula memilih Yang Dipertua PAS Tapah, Abd Muhaimin Malek sebagai wakil PN.

Bawani pernah bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning pada PRU lalu dan hanya mendapat 586 undi berbanding Allahyarham Ishsam selaku pemenang (9,088 undi) serta pencabar terdekat, Mohd Nazri Hashim (PH) yang mendapat 6,875 undi.
Arutchelvan berkata di Ayer Kuning nanti PSM akan membawa isu perjuangan golongan pekerja, petani dan Orang Asli, manakala sekutu mereka – Muda – akan berusaha menarik sokongan pengundi muda.
Katanya, pengundi muda Ayer Kuning hanya akan pulang dan mengundi jika melihat ada keperluan.
“Selain itu, banyak NGO di Perak dan tempat lain bekerjasama dengan PSM yang mereka lihat sebagai sekutu politik terbaik untuk membangkitkan isu alam sekitar, penjagaan kesihatan dan dasar institusi yang lebih baik.
"Kami mengalu-alukan kumpulan ini untuk datang ke Ayer Kuning dan membangkitkan isu ini kerana dalam 14 hari akan datang, semua menteri dan pengikut mereka akan berada di Ayer Kuning.
“PSM akan menjadi wadah untuk membangkitkan kebimbangan ini," katanya.
Berbeza dengan lawan politik yang dikritiknya kerana mengedarkan habuan dan menganjurkan “rumah terbuka mega,” Arutchelvan berkata PSM akan menggunakan tempoh kempen untuk memusatkan perbincangan kepada isu sebenar yang memberi kesan kepada rakyat.
"Kami mungkin tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan tetapi kami pasti ada idea untuk dikongsi," tegasnya.
Kepada pengkritik yang menunjukkan rekod pemilihan parti, Arutchelvan menegaskan bahawa PSM tetap memainkan peranan penting dalam pembaharuan dasar - termasuk pengenalan Akta Gaji Minimum dan skim insurans pekerja.
Tambahnya, parti itu kini mendesak skim pencen untuk warga emas.
"Antara dua ulama itu, PSM mengemukakan seorang aktivis wanita dan seorang peguam yang terkenal memperjuangkan hak. Bayangkan jika anda mempunyai seseorang seperti Bawani di DUN Perak," katanya.