Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada keperluan untuk mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, ini kerana pemimpin PAS itu sentiasa didampingi polis.
“Sebagai menteri besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa. Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya.
“Saya sendiri pernah tersenarai (untuk pengawasan) pada 2000-2004. Saya anggap ini sebahagian tugasan pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.
Tambah Saifuddin, dirinya sendiri pernah di bawah pengawasan pihak berkuasa dari 2000 hingga 2004.
"Saya menganggap ia sebahagian daripada tugas pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Saya memberikan kerjasama penuh dan menghormati peranan mereka.
"Selepas tempoh tertentu, nama saya telah dikeluarkan daripada senarai," lapor portal berita itu.
Dia juga berkata semua VVIP di negara ini berada di bawah pengawasan atas alasan keselamatan, tetapi hanya Samsuri yang memilih untuk mempertikaikannya.
Saifuddin adalah Adun Lunas di Kedah dari 2000 hingga 2004, tetapi tidak memegang sebarang jawatan kerajaan pada masa itu sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

Awal hari ini, Samsuri mendakwa dia dikenakan pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh kerajaan, termasuk pintasan talian telefon.
Katanya, ia seolah-olah memberi gambaran yang dia seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata di tanah air sendiri.
“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus.
“Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan,” dakwanya.
Tambah Samsuri, perkara itu merumitkan proses keluar masuknya melalui sempadan negara, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
TCO, katanya, merupakan satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.