Pendedahan awal kepada pendidikan seksual komprehensif di peringkat sekolah boleh menjadi pemangkin kepada usaha mengekang masalah sosial termasuk isu kehamilan kanak-kanak, kata Naib Ketua Wanita PKR, S Wasanthee.
Katanya Malaysia perlu merangka kurikulum pendidikan seksual yang menyeluruh dan tidak sekadar memberi pengetahuan mengenai hubungan seksual, bahkan merangkumi aspek penjagaan diri, pembentukan sahsiah, serta nilai agama dan moral.
“Malaysia harus memperkenalkan kurikulum pendidikan seksual yang menyeluruh di sekolah bagi meningkatkan kesedaran remaja tentang ilmu kesihatan reproduktif dan risiko kehamilan awal.
"Namun, ini bukan semestinya subjek pendidikan seksual itu perlu berdiri sendiri.
"Apa yang penting ialah pendidikan tentang penjagaan diri, nilai agama dan pembentukan sahsiah itu didedahkan - itu yang saya maksudkan sebagai komprehensif,” katanya kepada Malaysiakini.
Wasanthee yang juga Adun Hutan Melintang di Perak itu ditanya mengenai pandangannya terhadap isu masalah sosial termasuk sumbang mahram dan kehamilan luar nikah yang terus mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Terbaru polis mendedahkan bagaimana pihak berkuasa dimaklumkan mengenai seorang remaja - berusia 15 tahun - hamil selepas mengadakan hubungan seks dengan sepupunya yang baru berusia 11 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata insiden itu dilaporkan pada minggu lalu dan dipercayai terjadi hasil hubungan cinta di antara mereka.
Menurutnya, siasatan polis mendapati banyak bahan lucah ditemukan dalam telefon genggam remaja perempuan terbabit.
Peranan ibu bapa
Malah, kata Mohd Yusoff, remaja perempuan ini sanggup merekod gambar atau video bogel mereka untuk dikongsi kepada lelaki yang baru dikenali melalui media sosial.
Kata Wasanthee inisiatif yang dicadangkannya itu sepatutnya boleh dilaksanakan tanpa melibatkan terlalu banyak kos kerana tidak melibatkan pertambahan guru atau mata pelajaran baru.
Sebaliknya, kata Wasanthee, elemen pendidikan seksual boleh diserapkan dalam mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Jasmani.
“Setiap mata pelajaran ini sudah menyentuh tentang sahsiah dan perilaku baik. Jadi, cukup dengan memperkukuhkan elemen tersebut tanpa perlu menambah subjek atau guru baru,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Wasanthee berkata, usaha tersebut juga perlu disokong dengan pengukuhan institusi keluarga, komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak-anak, serta akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif yang mesra remaja.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Begitu juga dengan program dan kempen yang menekankan akibat kehamilan remaja serta kepentingan membuat keputusan bijak dalam kehidupan,” ujarnya.
Dia yang akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan turut mencadangkan supaya perkhidmatan kaunseling dan kesihatan reproduktif mesra remaja disediakan secara meluas di klinik dan hospital.

Katanya antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan isu sosial dalam kalangan remaja ialah kurangnya pendidikan seksual yang holistik, pengaruh media dan teknologi tanpa kawalan, serta faktor persekitaran keluarga.
“Isu ini bukan sekadar soal pergaulan bebas semata-mata. Jurang pendidikan seksual menyebabkan remaja mendapatkan maklumat dari sumber tidak sahih.
"Pada masa sama, kurang komunikasi antara ibu bapa dan anak serta tekanan sosial turut memainkan peranan besar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wasanthee turut mengesahkan kesediaannya bertanding untuk mengisi jawatan Ketua Cabang PKR Bagan Datuk.
Dalam persaingan itu, katanya, dia menawarkan gagasan untuk memperjuangkan hak dan kesejahteraan wanita serta memastikan penyertaan aktif golongan berkenaan dalam semua aspek pembangunan negara tanpa mengira bangsa dan kaum.
"Saya bersedia membawa agenda pemerkasaan wanita yang lebih progresif dan menyeluruh, merangkumi golongan muda, ibu tunggal, wanita luar bandar dan golongan B40.
"Untuk menjayakan agenda ini, kita perlu memberi fokus bukan saja kepada aspek politik bahkan juga ekonomi, pendidikan dan perlindungan sosial," katanya.