Ketua Pemuda DAP (Dapsy) Woo Kah Leong menggesa Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria agar bermuhasabah dan menilai semula tindakannya.
Gesaan itu dibuat selepas Razman–yang dikatakan direhatkan sebagai pesuruhjaya PAS Perak–memuat naik video yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap DAP.
Tuduhan itu termasuk dakwaan DAP mengamalkan prinsip yang bertentangan dengan Perlembagaan dan menyokong komunisme.
"Apabila parti sendiri pun dah hentikan jawatan lantaran risau tentang reputasinya, Pak Teh (Razman) harus bermuhasabah dan berdepan dengan segala tindakan dan ucapan fitnah yang pernah dibuat," kata Woo.

Dalam video dimuat naik di media sosial semalam, Razman mengkritik Deklarasi Setapak 1967 yang digubal DAP, dengan mendakwa ia bertentangan dengan perlembagaan dan menjejaskan kepentingan Melayu.
Deklarasi itu antaranya menyebut bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan atas prinsip itu pengasingan rakyat sebagai Bumiputera dan bukan Bumiputera ditentang.
‘Kenapa dulu tak haramkan kami?’
Dalam kenyataan hari ini, Woo membangkitkan persoalan mengapa tiada tindakan diambil semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) untuk membubarkan DAP sekiranya benar parti itu melanggar Perlembagaan.
"Kenapakah rejim Perikatan Nasional tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membubarkan parti yang melanggar perlembagaan negara kita ketika sedang memerintah negara?" soal Woo.
Dia justeru menyifatkan dakwaan itu sebagai “retorik bermusim”, khususnya menjelang pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning.
Razman turut mengaitkan DAP dengan penghantaran abu mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng ke Perak pada 2019, sebelum ia ditabur ke laut dan hutan.
“Tidak pernah adanya pemimpin DAP yang mempertahankan tindakan komunis sedemikian dan malah seluruh parti berdiri teguh untuk bersolidariti dengan semua askar tidak kira kaum yang pernah lantang melawan rejim komunis,” katanya.
Woo turut mengingatkan bahawa seorang pemimpin PAS sebelum ini kalah saman fitnah selepas mengaitkan pemimpin DAP dengan Chin Peng dan diperintah membayar ganti rugi lebih RM800,000.
“Saya berharap ketua pembangkang DUN Perak boleh memperbaiki tahap pemahaman sejarahnya untuk tidak kelihatan dungu dan ingat semua itu sepupu,” katanya.
Kata Woo, dakwaan yang sama sebelum ini juga telah dijawab berkali-kali, termasuk isu pengibaran bendera merah yang didakwa sebagai bendera China.
“PDRM telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa hanyalah warganegara China yang terlibat dalam insiden kibar bendera China dan tiada orang tempatan yang terlibat,” katanya.
Dia menambah bahawa tidak semua bendera merah adalah bendera negara itu, sebaliknya ada yang merupakan bendera tokong.
Dia turut mempertikaikan tuduhan terhadap program yang memaparkan gambar wakil rakyat.
“Seorang individu yang rasional tidak akan menyalahkan Pak Teh sekiranya ada penunggang motosikal yang terbabas selepas menghadiri program raya Aidilfitri yang mempamerkan gambar Pak Teh di sepanduk program tersebut,” katanya.
Woo juga menggesa Razman untuk tidak terus menyalahkan pihak lain apabila dirinya disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
“Renungkanlah rekod fitnah anda sendiri yang berpanjang lebar sebelum menuding jari kepada orang lain,” katanya.