ADS
mk-logo
Berita
Geramm: Jangan guna undang-undang lapuk hukum Sin Chew
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 2:42 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam pihak yang menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Sin Chew Daily berhubung kesilapan reka bentuk bendera Malaysia.

Ia berkata walaupun akhbar harian mesti bertanggungjawab atas kesilapan berkenaan, tindak balas mesti diukur dan tidak menggunakan undang-undang lapuk.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang gesaan untuk tindakan ekstrem, termasuk boikot awam, gangguan terhadap pekerja media, atau tindakan hukuman di bawah undang-undang lapuk seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).

“Reaksi ini tidak menyumbang kepada wacana yang membina dan hanya membahayakan kebebasan akhbar di Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sin Chew menerbitkan ilustrasi muka depan memaparkan sebuah jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini..

ADS

Bagaimanapun, bendera Malaysia pada ilustrasi itu tidak mempunyai bulan sabit.

Dalam permohonan maaf yang diterbitkan semalam, Sin Chew menyifatkan ia sebagai "kesilapan teknikal".

Ia membetulkan versi digital ilustrasi dan menerbitkan semula ilustrasi yang diperbetulkan dalam edisi cetakannya hari ini.

Bagaimanapun, masih terdapat pihak menggesa hukuman yang lebih berat dikenakan, dengan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata permohonan maaf tidak mencukupi.

“Sebuah akhbar yang tersohor berusia hampir seratus tahun (diasaskan pada tahun 1929), mempunyai pembaca lebih setengah juta (500,000) serta mempunyai ketua editor dan para editor berpengalaman melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri?

“Apakah permohonan maaf kecil sahaja memadai? Seseorang perlu ambil tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii menggesa pihak berkuasa membatalkan lesen penerbitan Sin Chew.

Geramm berkata insiden ini, dan reaksi terhadapnya, adalah peringatan mengapa negara memerlukan Majlis Media Malaysia yang bebas untuk menangani situasi sedemikian.

"Badan sedemikian - bebas daripada campur tangan kerajaan atau politik - boleh berfungsi sebagai platform yang adil dan profesional untuk menangani kebimbangan etika dan aduan awam tanpa perlu berharap tindakan menghukum daripada kerajaan," tambahnya.

Kerajaan telah meluluskan undang-undang mengenai majlis itu tahun ini, dengan badan itu akan dibentuk pada Jun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS