Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menyifatkan peningkatan kes sumbang mahram menunjukkan keretakan institusi keluarga.
Pemimpin DAP itu berkata demikian sebagai berkongsi rasa terkilan dengan laporan media mengenai kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun.
Menurutnya, kes berkenaan juga mencerminkan keruntuhan nilai dalam masyarakat.
"Kita perlu tanya diri kita, di mana silapnya? Apa yang anak-anak kita tonton, pelajari, dan teladani? Saya menyeru agar ibu bapa dan komuniti diperkasa dengan penekanan terhadap kesedaran digital. Mereka perlu tahu bagaimana menyekat kandungan di dalam peranti anak-anak mereka. Ambil tahu juga dengan siapa mereka berkawan.
"Perlu ada pendedahan dan penerapan serta pendidikan seksual awal terhadap kanak-kanak, tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Ini kerana peningkatan kes sumbang mahram ini juga satu tanda keretakan institusi keluarga yang sepatutnya menjadi benteng untuk membesarkan anak-anak ini dengan selamat," katanya.
Selain itu, kata Young Syefura, perlu ada pendedahan dan penerapan serta pendidikan seksual awal terhadap kanak-kanak, tidak kira di sekolah mahupun di rumah.
Katanya, anak-anak memerlukan perhatian psikologi dan perlindungan daripada kandungan-kandungan lucah yang tersebar luas di atas talian.
"Sebab itu saya setuju untuk kanak-kanak bawah 13 tahun tak dibenarkan menggunakan telefon pintar. Tapi undang-undang saja tidak mencukupi. Ibu bapa perlu ambil peranan kerana ini semua bermula dari rumah," katanya.
Terdahulu, media memetik Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dalam sidang media hari ini berkongsi mengenai kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun dipercayai atas dasar cinta bawah umur.
Kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mohd Yusoff juga berkata sebanyak 252 kes sumbang mahram direkodkan di negeri itu pada 2024, berbanding 206 kes pada 2023.
Sementara pada tahun ini, dari Januari hingga Mac, angka berkenaan sudah meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024.
Tambahnya, hasil kajian pihak polis mendapati bahawa faktor seperti konflik keluarga, hubungan cinta, pendedahan kepada video atau gambar lucah, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya, serta penggunaan dadah antara punca utama berlakunya perbuatan terkutuk tersebut.