ADS
mk-logo
Berita
PAS persoal penglibatan politik calon BN ketika bawah KPM
Diterbitkan:  Apr 9, 2025 1:31 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Pemimpin PAS menimbulkan persoalan mengenai calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning di Perak, khususnya berhubung penglibatan aktifnya dalam politik semasa berkhidmat sebagai penjawat awam kanan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, calon BN Yusri Bakir adalah pegawai gred DG52 dan pada masa sama memegang jawatan setiausaha di sebuah bahagian Umno.

“Soalan saya, bolehkah seorang penjawat awam - dengan jawatan gred DG52 - yang bertugas dengan KPM dalam masa yang sama aktif dalam politik termasuk memegang jawatan sebagai setiausaha sebuah parti di peringkat bahagian?

"Jika tidak boleh, adakah dia dikira telah melakukan kesalahan dan wajar dikenakan tindakan? Menteri Pendidikan, saya mohon jawapan," katanya di Facebook.

Malaysiakini telah menghubungi KPM untuk mendapatkan ulasan.

ADS

Menurut pekeliling 2023 yang disiarkan di laman web KPM, pegawai perkhidmatan pendidikan gred antara DG41 dan DG48 dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik, dengan syarat pegawai itu terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan bertulis daripada ketua setiausaha kementerian.

Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak terpakai kepada pengetua atau ketua mana-mana institusi pendidikan, dan mereka yang memegang jawatan peringkat pentadbiran di mana-mana agensi kerajaan.

Fadhli mendakwa Yusri dinaikkan ke gred DG52 pada 2020, pada tahun yang sama dia dipilih sebagai setiausaha Umno Bahagian Tapah pada 2020.

Pada Isnin, BN mengumumkan nama Yusri sebagai calon mereka untuk pilihan raya kecil itu, yang pengundian akan berlangsung pada 26 April ini.

Menurut biodatanya, Yusri memegang ijazah kedoktoran dalam pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan mengetuai Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di maktab perguruan di Ipoh.

Dia juga merupakan pengerusi sebuah NGO untuk pendidikan kanak-kanak di Tapah.

Yusri dijangka berdepan Ketua PAS Tapah Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Feb.

Pada pilihan raya umum ke-15, Ishsam memenangi Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian akan berlangsung pada 26 April. Pengundian awal dijadualkan pada 22 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS